WASHINGTON 6 Dis. – Amerika Syarikat mempunyai bilangan banduan teramai memenuhi seluruh penjaranya pada setiap tahun berbanding negara-negara lain di dunia, lapor Pertubuhan Hak Asasi Manusia (HRW).
Menurut laporan Statistik Biro Pengadilan yang dikeluarkan pada penghujung tahun 2006, seramai 2.25 juta orang menghuni semua penjara di Amerika Syarikat (AS).
Menurut HRW, peningkatan itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh setahun untuk enam tahun yang kebelakangan ini.
Jumlah berkenaan mewakili 715 orang daripada setiap 100,000 penduduk negara ini dan lebih tinggi daripada Libya (217 orang bagi setiap 100,000 penduduk), Iran (212) dan China (119).
Ia juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa buah negara Eropah seperti Perancis (85), Britain (148) dan Kanada (107).
“Jumlah itu adalah sah sebagai satu rekod yang tidak baik. AS adalah negara yang paling ramai banduan,” kata Pengarah Program AS HRW, David Fathi.
Katanya, jumlah itu melebihi berbanding negara seperti China yang menggunakan hukuman penjara sebagai ‘sandiwara politik.’
Menurut HRW, jumlah itu telah meningkatkan sebanyak 500 peratus berbanding 30 tahun lalu dan akan terus meningkat.
Selain itu, ia turut menunjukkan diskriminasi yang sangat tinggi apabila kadar seorang lelaki kulit hitam dimasukkan ke penjara adalah 6.2 kali lebih tinggi daripada lelaki kulit putih.
“Hampir lapan peratus lelaki kulit hitam di negara ini yang berusia dalam lingkungan 30 ke 34 tahun telah dipenjarakan pada tahun 2006,” lapor HRW.
– AFP
No comments:
Post a Comment