BENTONG 4 Dis. – Seorang ahli perniagaan berusia 44 tahun yang juga adik kepada seorang individu ternama hari ini direman sehari bagi membantu siasatan polis berhubung satu kes dadah.
Majistret Mohd. Rosly Mohamed Nawi menetapkan tempoh tahanan reman itu terhadap ahli perniagaan tersebut yang ditahan bersama seorang lagi rakannya berusia 39 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut.
Kedua-dua lelaki terbabit ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Perting, Bentong pada pukul 1 petang semalam.
Dalam serbuan itu mereka didapati memiliki dadah dipercayai ketamin seberat 1 gram dan dua paket plastik mengandungi serbuk dipercayai syabu seberat 2 gram.
Dadah ketamin dijumpai di atas katil dalam bilik rumah tersebut manakala syabu ditemui dalam dompet salah seorang daripada lelaki terbabit.
Kedua-dua lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan lanjut.
Kedua-dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM5000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, Majistret Mohd. Rosly melanjutkan empat hari lagi reman terhadap dua pengedar dadah yang ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan Polis Cawangan Narkotik Daerah Bentong menjalankan siasatan lanjut.
Kedua-dua suspek itu yang berusia 37 dan 18 tahun ditahan kerana memiliki 52 gram dadah jenis syabu pada 28 November lalu di dalam sebuah kereta di kawasan apartmen di Gohtong Jaya, Genting Highlands.
(Utusan)
No comments:
Post a Comment