04 December 2007

04.12.07 - Israel bebas lebih 400 tahanan Palestin

KETZIOT 3 Dis. – Israel membebaskan lebih 400 tahanan Palestin dari Penjara Ketziot yang terletak di kawasan padang pasir Negev di selatan negara ini awal hari ini.

Seorang pemberita AFP melaporkan, bas pertama yang membawa tahanan Palestin itu bergerak keluar dari pekarangan penjara awal pagi ini (12 tengah hari waktu Malaysia).

Pembebasan hari ini adalah yang terbaru yang dilakukan sebagai langkah muhibah untuk menyokong Presiden Palestin, Mahmud Abbas ketika usaha damai dilancarkan semula untuk mencari perdamaian di Asia Barat.

Lebih 80 tahanan Palestin dibebaskan pada awal Oktober lalu manakala lebih 250 lagi dibebaskan pada Julai lalu.

“Hari ini kami membebaskan 429 tahanan Palestin,” kata Yaron Zamir, jurucakap pihak berkuasa penjara Israel kepada pemberita AFP.

Beliau berkata, 20 daripada tahananPalestin itu dihantar pulang ke Genting Gaza yang dikuasai oleh puak Hamas, manakala bakinya dihantar ke Tebing Barat yang dikuasai oleh Mahmud.

Masyarakat Palestin kini berpecah dua selepas Hamas merampas kuasa di Tebing Barat dengan menyingkirkan pasukan keselamatan yang setia kepada Mahmud.

Seperti masa lalu, pembebasan kali ini tidak melibatkan tahanan-tahanan yang didakwa melancarkan serangan-serangan yang membunuh rakyat Israel.

Pembebasan hari ini pada mulanya dirancang dilakukan beberapa hari sebelum berlangsungnya sidang damai Asia Barat di bandar Annapolis di negeri Maryland, Amerika Syarikat (AS) pada 27 November lalu, tetapi ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan.

Bagaimanapun, pembebasan itu tidak memenuhi permintaan Palestin yang menuntut Israel supaya membebaskan 2,000 daripada lebih 11,000 orang yang ditahan sekarang, sebelum sidang kemuncak itu dilangsungkan.

Dalam sidang kemuncak itu, Mahmud dan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert melancarkan semula rundingan damai, yang terhenti selama tujuh tahun, untuk cuba mencapai perjanjian damai yang menyeluruh menjelang akhir 2008.

– AFP

No comments:

Post a Comment