05 July 2022

Saman fitnah: Zakir Naik, Kulasegaran setuju selesaikan kes


Zakir Naik dan bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran telah menyelesaikan tuntutan saman fitnah yang dikaitkan dengan pendakwah Islam itu secara baik tanpa perbicaraan.

Penghakiman persetujuan antara plaintif dan defendan dicatatkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ketika dihubungi, peguam Zakir, Akberdin Abdul Kader mengesahkan keputusan itu dicapai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Arief Emran Arifin.

“Perkara itu telah diselesaikan secara baik.

"Syarat penyelesaian adalah peribadi dan sulit," kata peguam itu ketika dihubungi petang ini.

Sebelum ini, kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 26 dan 27 Jun tahun ini.

Berhubung saman Zakir Naik terhadap beberapa ahli politik lain, Akberdin berkata setakat masa ini tiada perbincangan penyelesaian antara pendakwah berkenaan dengan defendan lain.

Peguam K Shanmuga mewakili ahli Parlimen Ipoh Barat Kulasegaran semasa prosiding hari ini.

Pada 27 Nov 2019, Zakir memfailkan saman itu terhadap Kulasegaran berhubung kenyataan ahli politik tersebut yang didakwa telah mengundang kecaman awam terhadapnya dan menggambarkan dirinya sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Dalam pernyataan tuntutannya, selain pampasan dan ganti rugi daripada Kulasegaran, Zakir turut memohon perintah injunksi daripada mahkamah bagi melarang defendan menerbit serta menyebarkan empat artikel yang didakwa berbaur fitnah.

Zakir turut menuntut permohonan maaf dikeluarkan oleh defendan serta disiarkan di akhbar dan portal berita secara dalam talian dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis diserahkan.

Zakir juga memfailkan beberapa saman fitnah bukan sahaja terhadap Kulasegaran tetapi empat lagi tokoh politik, iaitu ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas duta Dennis J Ignatius.

Saman itu difailkan susulan kenyataan kontroversi Zakir dalam satu ceramah di Kelantan pada 8 Ogos 2019 mengenai penyebaran Islam secara aman di Kepulauan Melayu.

Sumber berita : Malaysiakini.com

 

 

No comments:

Post a Comment