16 May 2019

Kes ketua jururawat hilang: Siti Kharina ditemui dibunuh

Polis mengesahkan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas, ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Beliau berkata pemilik rumah itu datang untuk memeriksa rumahnya, dan polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa di kondominium itu.

“Mangsa ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina yang telah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam.

Noor Azam berkata berikutan kejadian ini, polis telah menahan seorang wanita warga Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berumur 38 tahun di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi ini.

“Seorang lagi suspek lelaki diburu bagi membantu siasatan kes ini dikenali sebagai, Aliwajuwon Gilbertalowonle warga Nigeria yang memasuki Malaysia awal Januari lepas,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan di tempat kejadian mendapati ketiga-tiga suspek ini merupakan rakan perniagaan telefon bimbit di sebuah pusat membeli-belah gajet elektronik terkenal di Kuala Lumpur.

Selain itu, polis menemui pisau dan baju di rumah sewa mangsa, manakala polis menolak unsur samun dalam kes Siti Kharina kerana dokumen dan barang kemas mangsa tidak hilang.

“Kami tidak menemui sebarang kesan pecah rumah dalam rumah mangsa kerana barang berharga mangsa tidak diambil,” katanya.

Beliau berkata polis percaya bahawa Siti Kharina telah dibunuh empat atau lima hari lepas di rumah sewanya, manakala motif kejadian masih disiasat.

“Ketika ini polis akan mengambil keterangan daripada suspek dan ahli keluarga Siti Kharina bagi melengkapkan siasatan kes ini.

“Kami akan siasat daripada semua aspek sama ada Siti Kharina dirogol, dilarikan atau lain-lain punca. Selain itu, polis sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa dari Hospital Serdang,” katanya.

Noor Azam berkata pihaknya juga menyiasat hubungan mangsa dengan ketiga-tiga suspek kes berkenaan.

Beliau berkata pihaknya mengesahkan bahawa Siti Kharina mempunyai dua buah rumah sewa, iaitu sebuah di Cyberjaya dan sebuah lagi di tempat lain.

“Siti Kharina mempunyai tiga anak perempuan seorang berusia 14 tahun dan kembar berusia 10 tahun menetap di Kampung Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan,” katanya.

Pada Ahad lepas, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini, kali terakhir dilihat di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lepas.

Siti Kharina dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih.

- Bernama






Siti Kharina dikelar, darah mengalir sampai ke pintu


CYBERJAYA: Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dipercayai telah dibunuh antara empat hingga lima hari lalu sebelum mayatnya ditemui di sebuah unit kondominium Third Avenue di Cyberjaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, mayat Allahyarham Siti Kharina, 40, juga ditemui dalam berpakaian tidak lengkap dengan keadaan terbaring di atas lantai unit berkenaan yang dipercayai turut disewa mangsa.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di sekitar kondominium terbabit membawa kepada penemuan beberapa bahan bukti termasuk pisau dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

"Siti Kharina ditemui mati dibunuh dengan kesan kelar di bahagian dada dan leher di kondominium Third Avenue di Cyberjaya kira kira pukul 4.20 petang pada Rabu," kata beliau dalam sidang media pada Khamis.
Menurut Noor Azam, usaha merungkai misteri kehilangan Siti Kharina terjawab selepas polis menerima panggilan daripada orang awam yang datang untuk membaiki mesin basuh di unit berkenaan.

Orang awam berkenaan, kata beliau, terlihat darah mengalir keluar dari pintu rumah terbabit sebaik tiba di kondominium itu.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sehingga kini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Dalam masa sama, Noor Azam berkata, polis yang sedang menyiasat motif pembunuhan turut menahan dua suspek masing-masing warga Nigeria dan Pakistan bagi membantu siasatan.

"Suspek pertama wanita warga Nigeria ditahan dalam satu serbuan di Taman Damai Indah Cheras kira kira jam 3 pagi tadi

"Manakala suspek kedua lelaki warga Pakistan ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Rampai Setapak pada hari yang sama," kata beliau dalam sidang media di sini pada Khamis.

Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bagaimanapun, polis sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki warga Nigeria bagi membantu siasatan. - Astro Awani


Kronologi kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin:

 8 Mei

- Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, dilaporkan hilang.

12 Mei

- Pihak Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu.

- Mangsa dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih.

- Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan mengesahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas.

13 Mei

- Polis menjalankan inkuiri berhubung kehilangan Siti Kharina dan mengklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.

14 Mei

- Keluarga Siti Kharina meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu kononnya Ketua Jururawat itu sudah ditemui.

15 Mei

- Mayat dipercayai Siti Kharina ditemui dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya

- Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria bagi membantu siasatan.

16 Mei

- Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan mayat wanita ditemui di Cyberjaya adalah Siti Kharina. - Bharian


BERITASEBELUM INI


'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'




KELUARGA ketua jururawat Hospital Serdang yang hilang sejak seminggu lalu, meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu kononnya Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, sudah ditemui.

Adiknya, Siti Khairani Mohd Kamarudin, 36, berkata, masih ramai menghubunginya bertanyakan sama ada benar kakaknya itu sudah ditemui, sedangkan mereka tiada maklumat mengenainya.

“Setakat ini tiada orang awam yang menghubungi dan memberi maklumat di mana kakak saya berada.

“Cuma ada beberapa individu menghubungi, bertanya sama ada betul ke kakak sudah ditemui seperti disebarkan di media sosial.

“Saya harap mereka henti sebarkan maklumat palsu berkenaan, (kerana) kakak saya belum ditemui. Jika ada nampak dia di mana-mana, boleh hubungi saya di talian 012- 2587764,” katanya ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Siti Khairani berkata, ahli keluarganya masih membuat carian di beberapa lokasi yang dikatakan mungkin dikunjungi Siti Kharina.

“Antara tempat yang kami cari ialah di Seri Kembangan, Nilai, Cyberjaya dan Serdang. Selain itu kami berulang-alik ke Kuala Pilah dan melihat kawasan di sekitarnya,” katanya.

Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun.

Suami dan semua anaknya menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada Rabu minggu lalu.

Beliau dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih dan kehilangannyahanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya untuk bertanya disebabkan wanita itu tidak melapor diri untuk bertugas di tempat kerja. - Mymetro

Kakak patut balik kampung tapi...

"Dia patut balik dan berpuasa bersama anak-anaknya, tapi... kelibatnya tak muncul-muncul," demikian menurut Siti Khairani Mohd Kamarudin,36, mengenai kakaknya yang dilapor hilang sejak 8 Mei lalu.

Kehilangan Siti Khairina Mohd Kamarudin, 40, yang bertugas sebagai ketua jururawat Hospital Serdang, disedari keluarga ini selepas tidak pulang ke kampung serta dimaklumkan tidak bertugas seperti biasa selepas cuti pertama puasa.

"Kakak ada menghubungi suaminya dan bercakap seperti biasa. Katanya nak berbuka dengan anak-anak selepas habis waktu bekerja.


"Tapi, dia tak muncul-muncul. Pelik juga kerana tidak ada apa yang berlaku antara kakak dan kami di sini termasuk suaminya, keadaan pun baik-baik sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, hari selepas tidak pulang ke kampung, Siti Khairina sepatutnya bertugas syif malam, tetapi dia tidak ke tempat kerja seperti kebiasaan.

Dia sepatutnya kerja syif malam pada Khamis dan Jumaat sebelum balik ke Kuala Pilah... tetapi dimaklumkan tidak masuk kerja.


"Rakan serumah yang tinggal di kuarters hospital ada berselisih bahu ketika mahu keluar berbuka puasa dan masa tu kakak baru pulang kerja petang. Tetapi katanya, tak nampak sesuatu yang pelik.

"Mereka bertegur macam biasa kerana rakannya itu mahu pergi kerja. Masa tu, mungkin kakak balik nak ambil barang, kemudian keluar balik dengan pakaian kerja. Itulah kali dia dilihat di kawasan tempat letak kereta hospital," ceritanya.

Siti Khairani berkata, kakaknya tinggal di kuarters hospital sejak enam tahun lalu kerana berkhidmat di Hospital Serdang dan hanya akan balik ke Kuala Pilah setiap kali cuti.

"Sampai sekarang, tiada sebarang perkembangan diterima tentang kehilangan kakak.

"Apa yang tular kata kakak saya dah balik adalah tidak benar. Saya mohon hentikan semua sebaran perkara tak benar mengenai kakak," jelasnya.

Katanya, dengan tersebarnya berita palsu seumpama itu hanya membantutkan usaha pencarian.

"Ada yang telefon dan tawarkan khidmat untuk berubat cara perubatan Islam. Disuruh ke sana sini, kami ikhtiar demi kakak.

"Saya sekeluarga harap kakak dapat ditemukan dengan selamat. Bimbang dengan keselamatan dia. Lagipun tak lama lagi dah nak raya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah kes Orang Hilang

Terdahulu pengurusan Hospital Serdang mengesahkan kehilangan Siti Khairina yang dilihat kali terakhir memandu kereta jenis Honda City berwarna putih di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membantu mengesan Siti Khairina digesa agar menghubungi polis atau adik Siti Khairina, Siti Khairani Mohd Kamaruddin di talian 012-2587764. - Sinar Harian




No comments:

Post a Comment