KUALA PILAH, 16 Mei (Bernama) -- Jenazah Ketua Jururawat Hospital
Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, selamat dikebumikan di tanah
perkuburan Islam Kampung Tengah, Seri Menanti dekat sini, pada 9 malam
ini.
Sebelum itu, jenazah Siti Kharina, 40, tiba di kampung halamannya di Kampung Tengah, pada 6.15 petang tadi.
Jenazah kemudiannya dibawa ke dalam rumah untuk tatapan
terakhir anggota keluarga, saudara-mara, sahabat-handai dan jiran
tetangga.
Anggota Parlimen Kuala Pilah yang juga Timbalan
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith antara 100
hadirin yang datang menziarah jenazah Allahyarham.
Misteri
kehilangan Siti Kharina yang dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu terjawab
selepas mayatnya ditemui di unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya
semalam. Mayat wanita itu ditemui pemilik rumah berkenaan pada Rabu
dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.
Mangsa, dilapor hilang 8 Mei lalu selepas kali terakhir dilihat di tempat letak kereta Hospital Serdang pada 4 petang.
Siti Kharina meninggalkan suami, tiga anak perempuan iaitu seorang berusia 14 tahun dan kembar berusia 10 tahun.
Sementara itu, ibu saudara Allahyarham, Datin Fauziah Mohamed, 54,
berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan arwah pada petang Ahad
lepas iaitu sehari sebelum puasa di rumah keluarga di Kampung Tengah.
Katanya beliau bersama keluarga Siti Kharina pulang ke kampung bagi
menyambut Ramadan selain berbincang mengenai persiapan raya di kampung.
"Bagaimanapun, tidak nampak sebarang perubahan pada Kak Long (Siti
Kharina) ketika itu dan kami berbual seperti biasa. Kak Long yang saya
kenali seorang anak saudara yang baik dan peramah. Kehilangan Kak Long
ini benar-benar mengejutkan keluarga kami lebih-lebih lagi pada bulan
Ramadan ini.
"Tidak sangka ada orang yang tergamak melakukan
jenayah sedemikian dan kami berharap pihak polis dapat menangkap
penjenayah itu dan dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui
dan berkata beliau mengetahui berita kehilangan arwah melalui WhatsApp
anaknya dan paling mengejutkan Allahyarham berjaya ditemui namun telah
meninggal dunia.
Sepupu Siti Kharina yang hanya mahu dikenali sebagai Zura, 49, berkata beliau turut terkejut menerima berita kejadian itu.
"Kami sudah bertahun tidak berjumpa dan kejadian ini benar-benar
memberi kesan kepada kami semua, tambahan pula pada bulan Ramadan,"
katanya.
-- BERNAMA

No comments:
Post a Comment