21 April 2019

Kerana ayam mentah

HANYA kerana ibunya menyediakan ayam goreng kurang masak, seorang lelaki sanggup mengugut mahu menetak wanita itu dengan sabit.

Perbuatan tertuduh, Mohd Helmi Mohamed, 33, itu bagaimanapun membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM6,000 di Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini selepas mengaku salah terhadap tuduhan.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Difahamkan tertuduh tidak membayar denda itu hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut mahu menetak ibunya, Asiah Yusoff, 59, dengan sabit di rumah di Kampung Cherang, Kota Bharu, pada 5 petang, 14 April 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh yang baru bangun daripada tidur mengamuk selepas ayam goreng yang dimakannya mentah.

Tertuduh kemudian membuang ayam itu sebelum mengugut mahu menetak ibunya dengan sabit dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Gayathri Sambath memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment