20 May 2018

Syamsul Debat umum lepas semua jawatan dalam UMNO

SEREMBAN - Penceramah motivasi popular, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat meletak semua jawatan dalam UMNO berikutan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Syamsul Debat, 41, berkata, beliau melepaskan jawatan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Cawangan Pancor, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Pancor dan Penceramah Biro Penerangan UMNO Malaysia.

"Ikhlas buat semua rakan-rakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban.

"Mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku dalam PRU-14 yang lalu, maka dengan ini saya meletakkan semua jawatan saya dalam UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook 'Syamsul Amri Ismail Official' hari ini.

Dalam PRU-14 pada 9 Mei lalu, Syamsul Debat yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) gagal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat selepas memperoleh 6,419 undi.

Kerusi itu dimenangi oleh Aminuddin Harun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 9,832 undi.

Calon Pas, Rahim Yusof memperoleh 1,331 undi, manakala calon bebas Bujang Abu mendapat 15 undi.

Syamsul Debat turut mengumumkan beliau tidak akan menawarkan diri bertanding bagi memegang sebarang jawatan dalam UMNO bahagian untuk memberi laluan kepada rakan-rakannya.

Katanya, beliau kini menumpukan perhatian keatas badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (Adam) serta Dunia Motivasi dan Pembangunan Kerjaya dan Masyarakat.

"Saya akan sentiasa bersedia memberikan buah fikiran serta pandangan atas nama persahabatan serta semangat silaturrahim," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment