29 April 2017

Isu 'Jahanam Pan': Umno saja Pas tak maki

KUALA LUMPUR - Laungan 'Jahanam Pan' yang ditujukan kepada Amanah menunjukkan Pas sudah hilang identiti sebagai parti berakhlak.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, lebih mengejutkan apabila perkataan itu diungkapkan di Muktamar Dewan Ulamak Pas yang merupakan dewan paling dihormati dalam Pas.

"Bagi kita, ungkapan itu boleh dianggap melampau dan biadab. Amat mendukacitakan apabila ia diucapkan oleh salah seorang perwakilan dan disambut pula dengan laungan takbir.

"Jika Dewan Ulamak yang paling dihormati boleh menggunakan perkataan kasar begini, sudah tentu pengikut di bawah akan mengikuti. Kalau ulama pun cakap begitu, ini menunjukkan keseluruhan Pas sudah diracuni dengan budaya tidak baik," katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, istilah 'Jahanam Pan' dilaungkan sebelum Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Mohd Rejab Md Akhir memulakan ucapan pada Muktamar Dewan Ulamak Pas.

Sebelum itu, Mohd Rejab meminta semua perwakilan berdiri kerana mahu mengetuai bacaan ikrar.

Bacaan ikrar yang disampaikan dalam bahasa Arab itu disusuli laungan takbir sebanyak tiga kali, sebelum  Mohd Rejab  menyebut 'Jahanam Pan' sebaik ia berakhir.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, beliau menjangkakan Muktamar Pas yang berlangsung ketika ini akan menjadi medan untuk memaki hamun.

"Mereka akan caci maki Amanah dan DAP, cuma satu saja mereka tidak akan maki iaitu Umno," dakwanya.

Bagaimanapun, kata Mujahid, Amanah tidak berhasrat mengambil tindakan ke atas Pas kerana perkara itu di luar kawalan mereka.

"Amanah tidak terjejas apa-apa. Cuma saya harap Pas dapat gunakan cara yang lebih baik dan bersaing secara sihat, bukannya dengan pendekatan hinaan dan caci maki sebegini," katanya. - SH

No comments:

Post a Comment