14 June 2016

Pusat Pengundian Awal Dibuka 8 Pagi, 286 Orang Layak Mengundi

SUNGAI BESAR: Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang melibatkan 286 anggota polis dan pasangan masing-masing, berlangsung di dua tempat mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Sabak Bernam di sini, hari ini.

Dua tempat mengundi berkenaan ialah di Bilik Cawangan Latihan/Sukan bagi pengundi awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang dan Bilik Cawangan Latihan/Sukan IPPD 1 bagi pengundi awal DUN Sekinchan.

Pusat pengundian awal dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang bagi DUN Sungai Panjang manakala bagi DUN Sekinchan, ia dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang.

Proses pengundian awal disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa seramai 42,365 orang, pengundi awal (286) dan pengundi tidak hadir (4) kerana berada di luar negara.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi, calon PAS yang juga ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK Parlimen Sungai Besar ditetapkan pada 18 Jun.

- Bernama

No comments:

Post a Comment