18 June 2016

Polis ingatkan parti menang tak buat perarakan

Polis hari ini mengingatkan penyokong parti yang menang dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar, agar tidak melakukan sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan mereka selepas pengumuman rasmi dibuat malam ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata ini kerana tindakan sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini selain menimbulkan rasa tidak puas hati dalamn kalangan penyokong parti yang kalah.

"Jika mereka hendak meraikan kemenangan, mereka boleh berbuat demikian di dalam Dewan Sri Bernam, tempat penjumlahan undi dibuat," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Sungai Besar hari ini.

Abdul Samah turut memuji perjalanan kempen dan pengundian di PRK Sungai Besar yang disifatkan antara yang teraman.

Tambahnya kematangan rakyat dalam berpolitik dilihat sebagai faktor utama tempoh berkempen dalam PRK ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Diharapkan keadaan ini kekal sehingga pengumuman keputusan malam nanti,". katanya.

Mengenai perjalanan proses mengundi hari ini, Abdul Samah berkata setakat ini ia berjalan lancar dan seramai 4,546 anggota polis dikerahkan bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sehingga pengundian berakhir 5 petang nanti.

Katanya, sejak hari penamaan calon sehingga 1 petang tadi, sebanyak 21 laporan polis diterima antaranya melibatkan kesalahan membakar dan menconteng poster, menaikkan papan iklan berbau fitnah, mencuri dan mengadakan ceramah
tanpa permit.

Keputusan PRK itu yang dijalankan serentak dengan PRK Kuala Kangsar, Perak dijangka akan diumumkan selewat-lewatnya pada 9 malam nanti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 42,365 pengundi biasa layak mengundi hari ini di Sungai Besar selepas 265 (92.6 peratus) daripada 286 pengundi awal melaksanakan tanggungjawab mereka pada Selasa lepas (14 Jun).

- Bernama

No comments:

Post a Comment