KUALA KUBU BHARU – Pencarian dengan turut melibatkan Unit Anjing
Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan Guru Besar
Jashiah Rabu yang dilapor hilang sejak Jumaat lepas pernah menjejakkan
kaki di dalam hutan Buluh Telur di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R Supramaniam berkata anjing
pengesan mengesan jejak guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Keramat
I itu di sebuah pondok, kira-kira dua kilometer dari pusat gerakan
operasi mencari dan menyelamat.
“Namun jejak kaki mangsa terhapus setakat kawasan terbabit,” katanya
ketika ditemui Bernama di lokasi pencarian di Kampung Orang Asli Hutan
Buluh Telur hari ini.
Beliau berkata operasi pencarian yang memasuki hari kelima hari ini
melibatkan kawasan berkeluasan tiga kilometer radius pada pagi tadi dan
diperluaskan kepada enam kilometer radius petang ini.
“Selain hutan tebal, kita mengalami kesukaran mengesan mangsa kerana
terdapat maklumat yang bercanggah daripada orang kampung,” katanya.
Namun Supramaniam percaya pergerakan Jashiah bekemungkinan semakin
terbatas kerana keletihan dan ini boleh mempercepatkan proses
mengesannya.
Beliau berkata seramai 71 anggota terdiri daripada PDRM, Jabatan
Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Renjer Hutan,
Pegawai Pendidikan Daerah dan penduduk kampung terlibat dalam operasi
pencarian yang bermula 9 pagi tadi.
Menurut beliau, operasi turut dibantu Pasukan Gerakan Am Sungai Perak
Bidor, Perak, serta lapan orang Tok Batin dari Kampung Buluh Telur.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu,
Kamil Hamadan berkata pasukan operasi dibahagikan kepada empat kumpulan
bagi meluaskan kawasan pencarian.
Ini menurutnya meliputi hutan Bukit Kutu, air terjun berhampiran
Taman Milenium, pencarian dari rumah ke rumah penduduk kampung, kebun
getah serta anak sungai.
Jashiah kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumah pada petang
Jumaat lalu dan dikatakan berjalan kaki dan menumpang kereta
sejauhkira-kira 10 kilometer ke sebuah perkampungan Orang Asli, sebelum
dilihat menghala ke hutan simpan berkenaan.- Bernama
sian cikgu besar..banyakkan berdoa..hanya kepada Allah kita berserah..selain..usaha dan ikhtiar.
ReplyDelete