13 September 2015

Zunar akhirnya berjaya lancarkan buku tanpa ‘gangguan polis’

Pelancaran karya terbaharu kartunis politik Zulkiflee Anwar Haque yang bertajuk "Sapuman" hari ini berjalan lancar tanpa sebarang "gangguan polis".‎

Pada acara itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Zunar turut melancarkan buku "kartun parodi" mengenai isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bertajuk "Ros in Kangkong Land" yang sebelum ini dihalang pihak berkuasa.

Berucap pada majlis pelancaran buku tersebut, Zunar menceritakan cabaran yang dihadapi beliau termasuk penahanan dan rampasan buku daripada pihak berkuasa kerana karyanya.

"Saya melalui pelbagai cabaran, pejabat saya 3 kali diserbu. Kali terakhir ketika saya berada di London. Jadi saya anggap mereka ini pencuri beruniform

"Ribuan buku saya dirampas polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN). Tiga kilang cetak diserbu dan diberi amaran untuk tidak mencetak buku saya.

"Jadi sekarang saya kena hitamkan nama pencetak untuk lindungi syarikat pencetak," katanya dalam acara tersebut yang berlangsung di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini polis merampas buku mengenai Rosmah ketika ia sedang dibawa ke majlis pelancaran di Petaling Jaya, pada Februari lalu.

Mengulas mengenai buku terbaharunya, beliau berkata ia berkisar skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu derma RM 2.6 bilion Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Buku setebal 126 muka surat itu dijual dengan harga RM26 dan menurut beliau ia adalah simbolik kepada derma RM2.6 bilion dalam akauan peribadi Najib.

Buku terbaharu Zunar itu dilancarkan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Zunar berkata, sepanjang kerjayanya beliau menghasilkan sebanyak 18 buah buku dan 7 daripadanya diharamkan kerajaan.

Malah beliau juga kini berdepan dengan 9 tuduhan mengikut Akta Hasutan.

Katanya beliau tidak bimbang akan berdepan dengan tindakan pihak berkuasa kerana penghasilan buku terbaharunya itu.

"Saya tidak kisah, saya buat sahaja. Saya beritahu mereka, 'I buat kerja I, you buat kerja you (polis)," katanya.

"Saya hadapi 9 tuduhan di bawah Akta Hasutan, satu rekod baharu. Hukuman maksimum adalah 43 tahun. Jika saya masuk penjara maka bila keluar umur saya 96 tahun.

"Di Malaysia ambik rasuah RM 2.6 bilion masuk Putrajaya tapi lukis kartun pula masuk penjara," katanya sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Zunar berkata, beliau mengharapkan kartun yang dihasilkannya dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya mahu buat demostrasi kartun melalui lawak, kita gelak dan tidak akan ada yang akan tangkap kita kecuali mereka nak buat undang-undang anti gelak.

"Kita tertawa tidak ada regim satu dunia boleh bertahan dengan ketawa.Tujuan saya senang, ketawa sampai jatuh (kerajaan)," katanya. - TMI

No comments:

Post a Comment