24 September 2015

Pas patut berunding, kata Mahfuz

SUBANG JAYA – Meskipun tidak terlibat dengan pergerakan Pakatan Harapan yang baharu dibentuk, Pas seharusnya mengadakan rundingan dengan pakatan.


Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, rundingan antara Pas dengan Pakatan Harapan perlu diadakan bagi memastikan terjalinnya kerjasama dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Saya berharap Pas lebih terbuka untuk menerima realiti politik di negara ini. Pembangkang seharusnya mempunyai penyatuan yang boleh menyampaikan mesej  tepat kepada rakyat bahawa tidak mungkin berlaku lawan tiga penjuru pada PRU akan datang.

“Tetapi kalau mesej yang disampaikan (oleh Pas, Pakatan Harapan) membayangkan pertemuan tiga penjuru pada PRU nanti, ia akan memusnahkan harapan rakyat yang menyokong pembangkang selama ini,” katanya ketika Sinar Online.

Pakatan Harapan hari ini ditubuhkan selepas rundingan meja bulat antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan pembangkang baharu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengharapkan Pas untuk bergabung bersama DAP, PKR, dan Parti Amanah Negara dalam usaha membentuk pakatan baharu.

“… Ya, saya masih mengharapkan penyertaan Pas dalam pakatan ini atau pun ada kaedah (jalinan hubungan dan kerjasama) yang penting bukan tiga penjuru.

“Walaupun penubuhan pakatan hari ini dibuat tanpa Pas, pakatan baharu ini tidak boleh terus membiarkan keadaan ini berlarutan. Keduanya mesti ada keterbukaan untuk menjalinkan hubungan. Pakatan perlu menghubungi Pas dan Pas juga harus sedia untuk duduk di meja perbincangan untuk mencari jalan untuk menghadapi lawan kita bersama,” katanya lagi. - SH

No comments:

Post a Comment