SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak dan tiga lagi individu memfailkan pembelaan mereka
terhadap saman yang difailkan pembangkang berhubung dakwaan perbelanjaan
berlebihan dalam kempen PRU13.
Peguam Choo Shi Jiu yang hadir bersama-sama Datuk Mohd Hafarizam Harun
mewakili Najib berkata, anak guam mereka itu perlu memfailkan pembelaan
menjelang 1 Oktober, lapor The Malaysian Indsider.
"Timbalan pendaftar (Norfauzani Mohd Nordin) memberikan arahan defendan
juga perlu memfailkan permohonan menjelang 9 Oktober," katanya kepada
pembeita selepas pengurusan kes.
Beliau berkata, pengurusan kes selanjutkan akan dilakukan di hadapan pesuruhjaya guaman Mohd Zaki Wahab pada 9 Oktober.
Nama lain yang diletakkan sebagai defendan adalah Setiausaha Agung BN,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan syarikat pelaburan strategik
Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tengku Adnan diberi tempoh sehingga 15 September, 1MDB sehingga 14
September, manakala SPR diberi tempoh sehingga 14 September untuk
mengemukakan pembelaan mereka.
Pada 12 Ogos, PKR memfailkan saman terhadap Najib kerana melanggar
undang-undang pilihan raya susulan pendedahan The Wall Street Journal
(WSJ) berhubung dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) di dalam akaun
peribadinya.
Pada 3 Ogos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataannya berkata, dana itu adalah derma.
Plaintif dalam saman itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini
menjalani hukuman 5 tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas
pembantunya; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli
Parlimen Batu, Tian Chua dan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin
Nasution Ismail serta ahli Harapan Baru, Dr Dzulkefly Ahmad. - SH
No comments:
Post a Comment