15 September 2015

Amanah sedia dengar penjelasan PKR kenapa PAS perlu bersama Pakatan 2.0

Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamed Hanipa Maidin hari ini berkata, beliau bersedia untuk memahami pendirian PKR yang bertegas mahu PAS menjadi sebahagian pakatan pembangkang yang baharu, atau bakal dinamakan Pakatan Rakyat 2.0.

Katanya, walaupun tidak optimis ia boleh direalisasikan, beliau menghormati pegangan PKR seperti dinyatakan timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali, yang kelihatan sudi memaafkan PAS yang menurutnya banyak mengguris perasaan PKR dan ahlinya.

"Kita menghormati pendirian PKR yang mempunyai pemimpin berjiwa besar seperti Azmin yang nampaknya masih bersedia memaafkan PAS meskipun banyak perkara yang PAS lakukan yang boleh dikira melukakan hati PKR dan ahlinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Secara peribadi saya tak nampak bagaimanakah Pakatan 2.0 boleh direalisasikan jika PAS ada bersama-sama, namun saya mungkin tak nampak apa yang pemimpin PKR seperti Azmin, yang lebih berpengalaman dari saya, nampak," kata ahli Parlimen Sepang itu.

"Secara jujur, saya tidak optimistik tapi saya bersedia memberi peluang untuk PKR meyakinkan rakyat dan kita semua kenapakah PAS perlu bersama Pakatan 2.0," katanya.

Hanipa berkata demikian mengulas laporan yang PKR masih berunding dengan PAS bagi melibatkan parti itu dalam satu pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan Amanah walaupun hubungan antara mereka tidak baik.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, parti Islam itu tidak akan menyertai pakatan pembangkang baharu kerana PAS "cukup kuat" untuk bertindak bersendirian dalam pilihan raya umum akan datang.

"Nampaknya jiwa besar pemimpin seperti Azmin sedikit sebanyak menghasilkan kejayaan bila PAS nampaknya tidak begitu 'upset' dengan kemasukan Datuk Kamaruddin Jaafar ke PKR dibandingkan marahnya PAS ke atas mantan ahli Parlimennya yang menyertai Amanah.

"Isu bai'ah yang panas apabila ahli Parlimen Kuala Krai (Dr Mohd Hatta Ramli) menyertai Amanah nampaknya bertukar suam bila ahli Parlimen Tumpat (Kamaruddin) menyertai PKR," kata Hanipa. - TMI

2 comments:

  1. Aku x nak undi PKR maupun PAS jika pas dibawa masuk dalam pakatan 2.0, aku rela undi DAP walaupun DAP berseorangan.

    ReplyDelete
  2. Boikot pru14 jika pas join pr 2.0. Tiada jaminan mereka tak berlaku curang.

    ReplyDelete