LagiBerita
Sinar Harian | Malaysiakini | CariGold | Utusan | Mstar | BHarian | HMetro | Kosmo | Astro Awani | Harakahdaily | Bernama | Malaysian Digest | Keadilan | Mynewshub | SemasaPost (V) | Malaysiakini (Vid) | MediaRakyat (Vid) | Google | E-mail | Video | Blogger
eXTReMe Tracker

02 August 2015

Kembalikan jawatan Muhyiddin, kata Pemuda Umno Kluang

Admin | 12:08 PM |
Pemuda Umno Kluang mendesak presiden parti Melayu itu, Datuk Seri Najib Razak mengembalikan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri kerana secara konvensyen, pemegang jawatan berkenaan adalah timbalan presiden Umno.
Ketua Pemuda Umno Cawangan Bandar Bahagian Kluang, Azizul Ali berkata tindakan Najib menggugurkan Muhyiddin daripada Kabinetnya dalam rombakan pada Selasa membelakangkan 145,000 suara yang memilih Muhyiddin ketika pemilihan Umno sebelum ini.

"Ahli-ahli parti sentiasa mahukan supaya parti yang menguasai kerajaan. Perkara ini selalu disebut dalam Perhimpunan Agung Umno.

"Tetapi Najib nampaknya secara terang terangan mengabaikan suara ini dengan menggugurkan Muhyiddin daripada senarai Kabinet baharu.

"Dalam tradisi Umno, timbalan presiden adalah timbalan perdana menteri. Maknanya, orang yang diletakkan menjadi  timbalan perdana menteri adalah timbalan presiden yang dipilih oleh ahli-ahli parti," katanya.

Beliau yang baru-baru ini meletak jawatan ketua penerangan Pemuda Umno Bahagian Kluang selepas Datuk Khairul Anwar Rahmat melepaskan jawatan sebagai naib ketua Pemuda Umno Johor, berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini yang dikeluarkan sebelum Muhyiddin dijadualkan merasmikan mesyuarat bahagian itu pagi ini.

Azizul berkata, meskipun perdana menteri mempunyai kuasa prerogatif dalam memilih anggota Kabinet, tradisi Umno memperuntukkan ia dipandu keputusan parti.

"Memanglah penentuan siapa menjadi timbalan perdana menteri adalah kuasa prerogatif perdana menteri, tetapi dalam tradisi Umno penggunaan kuasa prerogatif ini dipandu oleh keputusan parti. Barulah parti dikatakan menguasai kerajaan.

"Jika parti memilih Muhyiddin sebagai timbalan presiden, maka beliau yang sepatutnya menjadi timbalan perdana menteri.

"Apa sebab Najib membelakangkan suara 145,000 perwakilan Umno yang memilih Muhyiddin sebelum ini? Apakah ini dikatakan parti menguasai kerajaan?" soalnya.

Sehubungan itu, Azizul memberi amaran, sekiranya Najib gagal menghormati ahli parti, perkara sama akan turut berlaku kepadanya.

"Kami menuntut supaya presiden hormat kehendak ahli-ahli parti dengan mengembalikan jawatan timbalan perdana menteri kepada Muhyiddin.

"Jika presiden tidak boleh menghormati  kehendak ahli-ahli parti, kami yakin ahli-ahli parti akan hilang hormat kepada presiden," katanya.

"Adalah malang bagi Umno jika ahli-ahli tidak lagi hormat kepada presiden. Justeru, kami menuntut supaya presiden melantik semula timbalan presiden kami sebagai timbalan perdana menteri," tegasnya.

Muhyiddin pada Selasa lalu digugurkan daripada Kabinet dan jawatan timbalan perdana menteri susulan kritikannya terhadap Najib berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan jawatan itu diserahkan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - TMI

1 comment :

  1. Dah dilantik Zahid jadi TPM. Apa kamu kalut2. Tak hormat PM bermakna tak hormat parti. Muhyiddin dah tua dan tak matang serta tak hormat PM. Terima saja lah. Kalau setakat Johor nak boikot PM, nothing la bro. Tahi gigi saja.

    ReplyDelete