Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan
Ibrahim menerima sebuah jet daripada ayahandanya sempena ulang tahun
kelahirannya yang ke-31 hari ini.
Dalam beberapa foto yang dimuatnaik di Facebook Johor Southern Tigers, baginda antara lain turut bergambar bersama ayahanda Sultan Ibrahim di atas karpet merah di depan jet tersebut.
Di
sebelah kiri dan kanan mereka dihiasi jambangan bunga dan belon yang
berwarna-warni bagai menggambarkan majlis penyerahan jet tersebut
diadakan secara rasmi walaupun dilihat dibuat secara ringkas.
Dalam gambar yang lain, kelihatan Tengku Mahkota menuruni tangga jet
sambil diperhatikan oleh juruterbang dan beberapa petugas kabin. Beliau
juga sempat bergambar dengan mereka sambil memegang kad ucapan hari
lahir.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan
kepada semua yang telah mengucapkan selamat dan mendoakan saya sempena
hari keputeraan saya," tulis baginda dalam laman sosial itu.
Bagaimanapun Tengku Ismail menulis bahawa beliau berniat untuk
mengagihkan lembu di setiap daerah di negeri itu di samping menghulurkan
sedekah kepada anak yatim dan golongan kurang berkemampuan selepas
menerima nasihat baginda Sultan Johor.
"Saya telah membuat keputusan, setelah menerima pandangan dan nasihat
DYMM Tuanku, untuk mengagihkan lembu di setiap daerah untuk berbuka
puasa, selain menghulurkan sedekah kepada anak-anak yatim dan golongan
yang kurang berkemampuan di seluruh Johor.
"Demikianlah niat saya. Selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh muslimin dan muslimat," tulis baginda lagi.
Rata-rata pengunjung laman sosial turut meraikan kegembiraan itu di
samping mendoakan baginda dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. - Malaysiakini
wahh. berjiwa rakyatnya
ReplyDelete