16 July 2015

Sudahlah mengungkit, kata Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad tidak perlu mengungkit sumbangan memenangkan kumpulan progresif parti itu sebelum ini.

Ini kerana, kata bekas anggota jawatankuasa pusat PAS itu, kumpulan progresif juga turut menyumbang tenaga untuk calon-calon mereka di kawasan lain.

“Tidak patut ungkit mengungkit, habis pahala saja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Khalid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mahfodz yang mengingatkan pemimpin progresif parti yang berhasrat meninggalkan PAS agar tidak lupa pada sokongan anggota yang bekerja keras dan menyumbangkan wang ringgit bagi memenangkan mereka dalam pilihan raya.

Mahfodz turut mengingatkan bahawa kemenangan kumpulan progresif bukan dari hasil titik peluh mereka sendiri sebaliknya daripada sokongan semua pihak, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib berkata anggota PAS seolah-olah terperangkap di dalam satu “doktrin ulama sentiasa benar” dalam membuat keputusan dan kenyataan.

Malah katanya tidak timbul soal ungkit mengungkit yang dibangkitkan oleh Mahfodz kerana katanya dalam pilihanraya umum lalu, beliau turut menyumbangkan wang simpanan peribadinya dalam kempen rakan-rakan dan dirinya.

“Memang dalam pilihanraya ada orang beri sumbangan nasi bungkus, pasang bendera… tetapi dalam DUN memerlukan RM100,000 sejak pilihanr aya umum lalu, bagaimana mahu dapatkan duit, sayalah, duit simpanan sikit, kawan-kawan dari NGO.

“Kita (anggota PAS) terperangkap di dalam satu doktrin ulama seolah-olah di bawah kepimpinan ulama semua betul,” katanya. - Mkini

No comments:

Post a Comment