16 July 2015

Nasrudin Hassan: Harapan Baru pengkhianat

PAS menyifatkan Gerakan Harapan Baru (GBH) yang diketuai bekas timbalan presiden, Mohamad Sabu, sebagai pengkhianat kepada jemaah Islam.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata GBH hanya menjadikan PAS sebagai batu loncatan politik peribadi mereka, lapor Utusan Malaysia.

“Golongan ini merupakan pengkhianat dan penjahat kepada jemaah Islam kerana masih ahli PAS, tetapi bertindak merosak parti dari dalam dengan menghasut ahli agar menyertai parti baru yang mereka bakal tubuh nanti.

“Mereka ini juga tidak pernah berasa bersalah, jauh sekali sayang kepada PAS kerana hanya menjadikan PAS sebagai batu loncatan untuk mencapai cita-cita politik mereka,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Isnin lalu, GBH mengumumkan penubuhan kumpulan itu bagi merintis penubuhan sebuah parti Islam baru yang lebih terbuka. Mereka juga berusaha ke arah pembentukan gabungan baru pembangkang yang dinamakan Pakatan Rakyat 2.0.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata, penubuhan parti Islam baharu yang diusahakan Mohamad Sabu bersama bekas pemimpin PAS lain umpama “bisikan syaitan”.

Mohd Khairuddin turut membandingkan parti yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan, PAS adalah jauh lebih layak dan berhak untuk dimakmurkan kerana PAS lahir bagi menegak amal makruf, mencegah kemungkaran serta memperjuang politik dan kuasa Islam.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh ahli Pas agar terus istiqamah dengan perjuangan PAS dan bukannya terpedaya dengan janji kejayaan palsu yang cuba dibawa Mohamad dan kumpulan GBH.

“Tidak perlu terpedaya dengan bisikan syaitan yang mengajak keluar daripada perjuangan PAS yang berpandukan al-Quran dan al-sunah, ijmak dan qiyas dengan pelbagai janji kejayaan palsu, sama ada oleh syaitan dalam kalangan jin mahupun manusia,” beliau dilaporkan sebagai berkata. - Mkini

Kenyataan yang memperlihatkan 'busuk hati' pemimpin kini PAS.

No comments:

Post a Comment