SHAH ALAM - "Dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya
sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, namai baik parti dan
kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan
saya digugurkan daripada kabinet maka saya reda,” demikian reaksi bekas
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Meluahkan rasa terbuka terhadap keputusan yang diumum Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi, jelas Muhyiddin menerusi laman
Facebooknya, beliau menerima keputusan tersebut serta menghormati kuasa
prerogatif Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana
anggota kabinet.
“Saya menerima keputusan Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada Kabinet dengan hati yang terbuka.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung
dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang
dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.
“Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan
dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri,” katanya menerusi satu
kenyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu turut mengucapkan penghargaan kepada peluang untuk menggalas tugasan yang diberikan sejak 2009 lalu.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana telah
memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran
kerajaan Persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April
2009.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan,
pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua
pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai
Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.
Jelas Muhyiddin, walaupun bukan lagi tersenarai sebagai salah seorang
anggota Kabinet, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai Timbalan
Presiden Umno.
“… Saya akan terus memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan
kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti
serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada Umno.
“… Kepada ALLAH saya berserah,” katanya lagi. - SH
No comments:
Post a Comment