KUALA LUMPUR - Tujuh menteri baharu dalam barisan Kabinet yang diumumkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, berikrar
menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Mereka ialah Datuk Hamzah Zainudin yang dilantik sebagai Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Datuk Dr Wan
Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar); Datuk Seri
Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan); Datuk Wilfred Madius Tangau
(Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Senator Datuk Seri Dr Mohd
Salleh Tun Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia); Datuk Seri
Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri
Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).
Perkhidmatan mereka berkuat kuasa esok.
Dalam reaksinya, Mahdzir mengucapkan terima kasih kepada Perdana
Menteri di atas kepercayaan beliau melantiknya menyandang jawatan
Menteri Pendidikan.
Mahdzir yang juga bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air berkata, jawatan itu merupakan amanah besar kerana sektor pendidikan
merupakan tunjang untuk mencapai negara maju.
"(Saya) berazam memastikan sektor pendidikan di negara ini lebih ke
hadapan dan berharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak dalam
menjalankan tugas yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan ringkas
hari ini.
Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan Ahli Parlimen Padang
Terap mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang pula menyifatkan
pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah sesuatu
yang mengejutkan.
Katanya, beliau mengetahui tentang pelantikannya itu menerusi radio.
"Saya terperanjat dengan berita itu tetapi berterima kasih kepada
Perdana Menteri kerana memberi keyakinan kepada saya untuk menyertai
barisan kabinet baharu ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azalina yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)
berharap pelantikannya itu dapat memberi kekuatan kepada barisan Kabinet
baharu dan kerajaan BN.
Sebelum ini, Azalina pernah berkhidmat sebagai Menteri Pelancongan pada
2008 hingga 2009 dan Menteri Belia dan Sukan pada 2004. - Bernama
No comments:
Post a Comment