14 July 2015

Pas Selangor pecat ahli sertai Harapan Baru

SHAH ALAM - Pas Selangor hari ini mengumumkan penamaan keanggotaan beberapa ahli parti itu kerana didapati terlibat dalam sebuah pergerakan dikenali sebagai Gerakan Harapan Baharu (Harapan Baru).

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata penamatan keanggotaan mereka adalah mengikut Fasal 13(1)(c) Perlembagaan Pas.

"Pas Selangor mengambil maklum tentang penubuhan parti politik baharu ini yang mana sebahagian besar daripada jawatankuasa mereka adalah bekas ahli kita di Selangor.

Kita hormati keputusan mereka dan ini sekali gus menamatkan keahlian mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Khairuddin berkata kesemua jawatan yang dipegang bekas ahli berkenaan akan dipangku serta-merta oleh kepimpinan yang lain mengikut kaedah perlembagaan parti.

Antara yang dikatakan hadir pada majlis pelancaran pergerakan itu hari ini adalah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib. - Bernama

No comments:

Post a Comment