KOTA BHARU – Kejam! Itu kata hakim kepada seorang penganggur sebelum
menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan kerana merogol
seorang remaja berusia 13 tahun yang turut diacukan parang dan ditumbuk.
Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mohd Rezza Fitri Sepei, 30, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.
“Perlakuan kami sungguh serius dan kejam! Saya harap hukuman yang
dijatuhkan ini akan memberi peluang kepada kamu berfikir apa yang sudah
kamu lakukan dan jadikannya pengajaran serta belajar daripada kesilapan
ini,” kata hakim.
Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun 10 bulan itu di
tepi kawasan tanah kosong berhampiran kebun getah di Kampung Tegayong,
Melor, di sini, antara jam 11 malam dan 12 tengah malam, 19 April lalu.
Pada jam 9.30 malam kejadian, mangsa tertidur di bahagian tengah
rumahnya bersama adik perempuan yang berusia 11 tahun. Tiba-tiba, mangsa
dikejutkan oleh seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan Mat Ropi
iaitu tertuduh.
Tertuduh mengheret mangsa ke ruang tamu sambil mengacu parang kepada
mangsa. Mangsa yang cuba melawan menyebabkan tertuduh terlanggar rak
pinggan dan bunyi menyebabkan bapa mangsa yang ada di luar rumah masuk
ke dapur.
Ketika itu, bapanya pula diacukan parang dan tidak dapat berbuat
apa-apa. Tertuduh terus mengheretnya ke dalam hutan berhampiran rumah
dan merogolnya. Mangsa cuba melawan, tetapi ditumbuk di bahagian kiri
muka.
Seterusnya, mangsa kemudian meminta tertuduh supaya membenarkannya
pulang dan tertuduh berpesan agar tidak menceritakan kejadian itu kepada
ayahnya. Pada keesokan hari, mangsa dibawa ke balai untuk membuat
laporan.
Pemeriksaan doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini,
mengesahkan mangsa dirogol dan mengalami luka pada bahagian belakang dan
lutut kiri. Mangsa cam tertuduh melalui kawad cam kerana memang kenal
tertuduh.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya
Kelantan, Mariah Omar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal
dengan mengambil kira jenayah serius yang dilakukan terhadap remaja
terbabit.
Hukuman diarah berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 22 April lalu. - SH
No comments:
Post a Comment