Seorang pegawai perubatan meninggal dunia
akibat kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertugas
lebih 24 jam di Hospital Sungai Buloh.
Menurut sumber polis, kereta dipandu allahyarham Dr Nur Afifah Mohd
Ghazi, terbabas dan melanggar sebatang pokok besar di tepi jalan, tidak
jauh dari hospital tersebut.
Sumber polis menyebut, kejadian di Jalan Kuari itu dipercayai berlaku
disebabkan mangsa, 27, memandu dalam keadaan terlalu letih.
Saksi di tempat kejadian melihat kenderaan yang dipandu mangsa terbabas
ke kiri jalan dan melanggar pokok dalam kejadian kira-kira jam 3 petang
semalam.
Menurut polis, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada dan kepala.
Suami mangsa, seorang doktor yang turut bertugas di hospital sama
bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan jenazah mangsa yang
tersepit di dalam kenderaan.
Jenazah mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah
siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan
1987.
Allahyarham Afifah yang berasal dari Kamunting, Perak, meninggalkan suami dan seorang anak berusia 11 bulan.
Kes tersebut menimbulkan perbincangan hangat di media sosial mengenai
risiko keselamatan pegawai kerajaan dalam sektor kritikal akibat tempoh
waktu kerja yang panjang.
Sesetengah pegawai perubatan di hospital kerajaan diketahui berkhidmat
sehingga 36 jam untuk satu-satu tempoh tugas atas panggilan (on call). - Mkini
No comments:
Post a Comment