GEORGETOWN - Empat pemimpin Pas yang menjadi Ahli Majlis Bandaraya
Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak
akan meletak jawatan sehingga menerima surat rasmi yang dikeluarkan
pimpinan Pas Pusat.
Ahli Majlis MBPP, Mhd Nasir Yahya berkata, sehingga semalam masih tidak
menerima sebarang arahan dari pimpinan tertinggi parti untuk meletak
jawatan atau sebaliknya.
Beliau yang juga Koordinator Markas Induk Pas Kawasan Bukit Gelugor
berkata, setakat ini belum menerima apa-apa (arahan) lagi.
"Saya perlu tunggu arahan kerana pelantikan dibuat oleh parti.
“Buat masa ini, saya tidak boleh memberi sebarang komen. Bagaimanapun,
saya bersedia untuk meletak jawatan jika Pas Pusat mahu saya berbuat
demikian,” katanya.
Ahli Majlis MPSP, Omar Hassan yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan
Permatang Pauh bersedia mengosongkan jawatan jika menerima arahan untuk
berbuat demikian.
“Saya akan akur apa sahaja arahan dari parti. Saya tidak akan teragak-agak untuk meletak jawatan jika itu keputusannya.
“Sehingga kini, saya belum terima surat rasmi atau arahan secara lisan
untuk berbuat demikian. Oleh itu, tunggu sajalah,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong, Yaacob Omar yang
juga Ahli Majlis MBPP akan menunggu arahan Pas Pusat dan meminta semua
pihak bertenang.
Menurutnya, Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga diminta supaya tidak cepat
memberi tindak balas kerana keputusan belum dibuat dalam Majlis Syura
Ulama.
“Saya tidak boleh komen, semuanya bergantung kepada pucuk pimpinan,
cuma saya mohon semua pihak bertenang. Jangan terlalu ‘over’, cepat
bertindak balas.
“Saya mohon agar Guan Eng berhenti dari buat kenyataan kontroversi
kerana ia akan mengeruhkan keadaan. Malah dari maklum balas yang
diterima, masyarakat kaum lain pun tidak setuju dengan cara Guan Eng
menangani masalah ini,” katanya.
Ahli Majlis MPSP, Dahalan Fazil berkata, Guan Eng perlu lebih tenang dan tidak kelam kabut dalam menangani masalah itu.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Kepala Batas berkata,
apa yang penting, semua pihak perlu menunggu keputusan MSU sebelum
mengambil tindakan seterusnya.
“Mesyuarat Majlis Syura dijangka diadakan esok (hari ini). Oleh itu,
sama-sama kita tunggu. Saya jadi ahli majlis kerana dilantik parti,
oleh demikian, saya akan letak jawatan pun berdasarkan arahan parti.
“Saya harap semua pihak bertenang dan tidak kelam kabut termasuk ketua menteri,” katanya.
Sementara itu, dua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Komuniti (JKKK) iaitu Tanjung Bungah, Azahar Hashim dan Kampung Makam,
Muhammad Imran Muhammad Sa’ad bersedia meletak jawatan jika diarah Pas
Pusat.
Bagaimanapun, mereka berkata, mesyuarat peringkat JKKK belum diadakan lagi bagi membincangkan perkara itu. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment