KUALA LUMPUR - Kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang sejak Khamis
lalu, disahkan ditemui di perairan Kemboja hari ini dengan kesemua 22
anak kapalnya selamat.
Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana
Muda Datuk Azahari Abdul Rashid berkata TLDM menerajui operasi
menyelamat kapal tangki itu susulan pesawat P3C Orion milik Tentera
Udara Diraja Australia mengesan kapal berkenaan di lokasi 210 batu
nautika utara Pulau Redang pada 3.45 petang semalam.
Ketika ditemui, kapal itu didapati telah ditukar namanya kepada 'Kim
Harmon' dipercayai sebagai taktik penyamaran bagi mengelak dikesan pihak
berkuasa, katanya kepada Bernama.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai
RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam pada Khamis lepas
ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22
anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang
Myanmar. - Bernama
No comments:
Post a Comment