Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta
semua wakil PAS yang menduduki jawatan dalam kerajaan negeri supaya
meletak jawatan.
Kata Lim, tindakan itu perlu dibuat selepas muktamar PAS meluluskan usul
supaya parti itu memutuskan semua hubungannya dengan DAP.
"Peletakan jawatan yang dijangkakan daripada wakil PAS dalam kerajaan
Pulau Pinang akan diterima dengan segera tanpa soalan kerana tiada
sebarang impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti
kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Lim, beliau menikmati hubungan kerja yang mesra dan baik dengan kebanyakan wakil PAS dalam kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, individu yang mewakili PAS terbabit perlu melepaskan jawatan masing-masing atas alasan etika dan moral.
"Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi
mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri yang diketuai oleh saya dalam
kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung DAP, apabila Muktamar PAS telah
memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.
Usul ulama sensitif
Semalam muktamar menerima usul daripada Dewan Ulama PAS untuk parti itu memutuskan hubungannya dengan DAP.
Bagaimanapun PAS mendakwa mereka akan kekal dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Usul berkenaan diterima tanpa dibahaskan atas alasan ianya "sensitif".
Kata Lim, walaupun tiada perdebatan dibenarkan semasa muktamar untuk
usul "sedemikian penting", kepimpinan PAS yang baru berhak untuk
mengemudi parti mereka dengan cara yang difikirkan wajar, sama ada
melalui demokrasi atau autokrasi.
"Saya tidak akan mengulas tetapi menyerahkannya kepada PAS untuk
menjawab kedudukan bercanggah mereka apabila PAS memutuskan hubungan
dengan DAP tetapi masih kekal dalam PR sedangkan PR terdiri daripada
ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS.
"PR berfungsi atas konsensus semua tiga parti dan tidak ada satu parti pun boleh membuat keputusan bagi pihak PR.
"Namun PAS mempunyai kebebasan dan hak untuk memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.
Antara lantikan dinikmati ahli PAS di Pulau Pinang ketika ini ialah di
peringkat kerajaan tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Komuniti (JKKK).
"Kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri Pulau Pinang
tidak akan terjejas akibat ketiadaan wakil PAS dalam kerajaan. DAP dan
PKR masih menikmati majoriti dua pertiga," katanya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment