05 June 2015

PAS Kembali Landasan Asal - Dewan Ulama

KUALA SELANGOR: Penguasaan kumpulan ulama dalam PAS memperlihatkan parti Islam itu kembali ke landasan perjuangannya yang asal, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.


Menurut beliau barisan kepimpinan yang baharu dipilih ini juga bakal membuktikan bahawa PAS sememangnya tidak pernah melupakan dasar dan perjuangan  untuk menegakkan Islam.
"Kita akan kembali semula kepada original PAS. Tak akan diungkit-ungkit lagi tentang dasar Islam.

"Tak payah diungkit tentang kita nak melaksanakan hudud kerana rujukan kita adalah al-Quran," katanya ketika ditemui pemberita di Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, Jumaat.

Mengulas lanjut Mahfodz berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan yang hampir menepati 'cai' atau senarai pilihan Dewan Ulama PAS yang dikeluarkan sehari sebelum proses pengundian berlangsung pada Khamis.

"Keputusan itu sangat memberangsangkan dan seperti yang Dewan Ulama harapkan, itulah yang berlaku.
"Jadi bila macam yang kita harapkan, suara akan bersatu. Sebab itu saya katakan ia akan memudahkan kerja Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh senada dengan ketuanya apabila menyifatkan keputusan pemilihan PAS kali ini membuktikan bahawa akar umbi mahu supaya PAS kembali ke landasan sebenar.

"Maknanya mereka mengkehendaki supaya perjuangan PAS ini adalah perjuangan PAS untuk menegakkan Islam, untuk perjuangkan syariat Allah…itu yang kita nampak.
"InsyaAllah kita akan berganding bahu dengan semua pihak. Iaitu ulama dan profesional, saya sebenarnya tak berapa suka sebut profesional kerana ulama juga profesional," katanya.  - Mstar

No comments:

Post a Comment