Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyelar
menteri yang mengarahkan tindakan terhadap pegawai Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ) yang terlibat dalam isu pemakaian sarung terhadap
pelanggannya.
ISMA berhujah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai
kekontangan nilai yang teruk apabila membuat ugutan kepada pekerja yang
disifatkannya sebagai mulia itu.
“Semua orang tidak boleh menerima apabila ada yang berpakaian mencolok mata di khalayak.
“Jadi, bila menteri tersebut mahu menjalankan siasatan dan mengambil
tindakan terhadap pengawal berkenaan, saya kira dia mengalami masalah
nilai yang teruk,” kata presidennya Abdullah Zaik Abd Rahman kepada Ismaweb.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengarahkan
siasatan dan tindakan segera diambil berhubung insiden seorang wanita
diberikan kain sarung ketika mahu berurusan di kaunter JPJ.
Kesal dengan isu itu, beliau di Facebook berkata garisan panduan kod
pakaian tidak perlu dikenakan kepada orang awam dan perlu dikaji semula,
lapor Bernama.
JPJ pula menegaskan tiada peraturan yang menyatakan pelanggan perlu
diberikan kain sarung jika tidak menepati garis panduan kod etika
pakaian.
JPJ berkata pihaknya berasa amat kesal atas kejadian yang menimpa
seorang wanita baru-baru ini, dan memohon maaf atas kesulitan yang
dialami ketika berurusan di kaunternya.
Selasa
lalu, kisah seorang wanita diberi kain sarung ketika mahu berurusan di
kaunter JPJ tersebar di media sosial selepas beliau didapati tidak
mematuhi kod etika pemakaian yang ditetapkan untuk berurusan di kaunter
kerajaan.
Sementara itu, Abdullah Zaik berkata beliau hairan kenapa garis panduan
pakaian itu akan dikaji semula memandang ia bertepatan dengan adab dan
nilai budaya masyarakat Malaysia.
Jelas Abdullah, sebagai menteri Liow sepatutnya terdidik dengan
pendidikan moral yang boleh membantunya mengambil sikap yang betul
berasaskan nilai dianuti masyarakat.
“Ini kerana menteri yang bertindak berasaskan nilai moral boleh
mengangkat status masyarakat daripada cara hidup yang hina kepada cara
hidup yang lebih mulia,” katanya.- Malaysiakini
No comments:
Post a Comment