Terimakasih atas kepercayaan perwakilan
dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke 61, yang memilih saya dalam kelompok
AJK Kerja PAS Pusat sesi 2015-2017. Amanah ini amat berat, manakala
harapan rakyat begitu tinggi.
Buat tempoh tertentu, saya mahu menumpukan perhatian terhadap Persatuan
Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) yang mempunyai pejabat baru di Ukay
Perdana. Memperkasa organisasi dan menangani isu FGV serta kebajikan
warga Felda adalah fokus utama. Ia disentuh dalam Ucapan Dasar Presiden
PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Sungguh pun komitmen terhadap Ngo Anak akan diteruskan, kemelut dalaman parti telah memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya.
Sebagai manusia biasa dan penglibatan dalam PAS sejak tahun 1986,
situasi ketika ini paling mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi.
Apatah lagi ramai rakan akrab puluhan tahun berjuang dan berkorban
telah tewas dalam pemilihan. Saya amat sedih dengan suasana ini dan
mengganggu emosi saya. Ia detik yang sukar; kepada Mu Ya Allah, hamba Mu
memohon pertolongan.
Justeru, saya akan umumkan dalam masa yang sesuai, samada kekal sebagai AJK Kerja PAS Pusat atau membuat keputusan melepaskan jawatan.
Apa pun keputusan yang saya buat, perjuangan mendaulatkan Islam dan
pembelaan terhadap nasib rakyat adalah keutamaan hidup. Ia segala
galanya dalam hidup saya.
Moga Allah beri kekuatan kepada hambaNya ini.
Mazlan Aliman
5 Jun 2015
No comments:
Post a Comment