AYER KEROH: Seorang broker tanah dikenakan hukuman mati mandatori
selepas didapati bersalah membunuh anak tirinya yang berusia enam tahun
dalam satu kejadian pada 10 Oktober 2011.
Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman
kepada Azman Abd Rahman 41, kerana didapati bersalah memukul sehingga
menyebabkan kematian Muhammad Firdaus Mohd Dan.
Beliau gagal mengawal kemarahan selepas anak tirinya membuang air besar di dalam seluar.
Zulkifli dalam alasan kehakimannya mendapati pihak pembelaan gagal
menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan yang dikemukakan.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati
mandatori itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfarhana Ahmad dan
tertuduh diwakili peguam, Mohd Hilmy Samsudin.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa merotan dan menerajang anak
tirinya sehingga mati pada kejadian 10 Oktober 2011 di Kebun Kelapa
Sawit Kampung Solok Pinang, Gadek, Alor Gajah antara jam 10.30 pagi
hingga 2.15 petang.
Tindakan berkenaan dilakukan selepas mangsa membuang air besar di dalam
kereta menyebabkan tertuduh berang sehingga bertindak memukul tetapi
akibat mengalami kecederaan parah, mangsa meninggal dunia.
Selepas meneliti keterangan pembelaan dan pendakwaan tertuduh didapati
bersalah menyebabkan kematian anak tirinya kerana mempunyai niat untuk
menyebabkan kecederaan yang boleh membawa kematian.
Zulkifli berkata, tindakan tertuduh disifatkan melampaui batas untuk mengajar mangsa yang terbuang air besar di dalam kereta.
“Mangsa dirotan di dalam kereta kerana membuang air besar selepas itu
mangsa keluar kereta kerana kesakitan tetapi kenapa tertuduh perlu
memukul dan menerajang mangsa lagi sehingga membawa maut,” katanya.
Terdahulu, Nurfarhana semasa prosiding rayuan memohon hukuman berkenaan
memberi pengadilan kepada mangsa dan keluarganya serta menjadi
pengajaran kepada masyarakat.
Katanya, hukuman itu menjadi mesej kepada masyarakat bahawa sekiranya
mempunyai sifat panas baran seharusnya perlu bijak mengawal perasaan
selain menghormati sistem undang-undang negara. - Astro
No comments:
Post a Comment