KUALA LUMPUR - Krisis kepimpinan Pas Pusat semakin meruncing menjelang
pemilihan parti itu minggu depan apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang
terus-menerus diserang dari pelbagai sudut kerana kelemahannya sebagai
Presiden Pas.
Belum pun perbalahan dengan timbalannya, Mohamad Sabu selesai, kini
giliran Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin
pula menyindir kepimpinan Abdul Hadi.
Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak melahirkan kehairanannya
apabila Abdul Hadi mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak ketika ahli dan pemimpin Umno sendiri menolaknya.
"Mereka hari ini semakin marahkan Najib, kalau kita lihat apa Najib
buat hari ini dengan Tabung Haji, GST dan kes Altantuya, orang Umno dah
getik dekat Najib ini.
"Tiba-tiba presiden Pas pula kata pertahankan Najib dan mahu kekalkan
dia, ini kita tak nak," katanya pada forum bertajuk “Mampukah Pas
Dilonjakkan Pasca Jun 2015” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur -
Selangor di sini, semalam.
Beliau juga menegaskan kepimpinan Abdul Hadi kian tersasar daripada landasan Pas yang sebenar apabila dengan mudah menggelar ahli parti dengan panggilan buruk dan enggan mengaku kesilapan.
"Ada yang mengatakan bahawa parti Islam ini sebagai satu keluarga, presiden ini ayah dia, jadi kita kena sokong ayah kita.
"Kalau presiden ayah kita, boleh tak ayah panggil anak dia barua?
"Bila kita bagi tahu dekat dia, suruh dia akui benda itu dan mohon maaf, orang akan hormat," ujarnya.
Nizar berkata lagi, tindakan Abdul Hadi meletakkan calon Pas di kerusi
Dun Kota Damansara pada PRU13 lalu itu adalah perbuatan khianat terhadap
rakan PR yang lain.
"Kita sudah buat perjanjian, tempat ini diwakili oleh PKR, tiba-tiba
Pas letak seorang calon, ini khianat parti terhadap rakan kita, mana
boleh," tegasnya.
Dalam pada itu, katanya lagi, bekas naib presiden Pas, Ahmad Awang
adalah calon terbaik untuk mencabar Abdul Hadi khususnya dari segi
penguasaan pelbagai bahasa dan hubungan diplomatik.
"Siapa tak kenal ustaz Ahmad Awang, dia baru balik dari Beirut,
persidangan antarabangsa di Lubnan, dia dekat situ, dia boleh cakap
bahasa Arab dengan baik, malah dia juga boleh berkomunikasi dan bercakap
dalam bahasa Inggeris dan dia (Abdul Hadi) tak boleh.
"Bukan nak perkecilkan, hari ini politik kontemporari perlukan kualiti
ini, kita perlukan mereka yang berkeupayaan, supaya orang akan hormat
parti kita, hormat negara kita," katanya. - SH
No comments:
Post a Comment