KOTA BHARU - Pelajar kolej vokasional di Bachok yang meninggal dunia
akibat dipukul pelajar senior kolej berkenaan sempat menelefon ibunya
untuk bertanya khabar tentang keluarga sebelum kejadian.
Ayah mangsa Zime Yaakob, 49, berkata anaknya Mohamad Nur Akram, 16,
baru memasuki kolej berkenaan tiga bulan lepas selepas bertukar daripada
Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah di Raub, Pahang.
"Dia mahu bersekolah di Kelantan jadi kami tiada pilihan lain, kami bawa dia untuk belajar di kolej berkenaan.
"Arwah juga tidak pernah mengadu apa-apa masalah sepanjang belajar di
situ, dia juga sempat menelefon ibunya, kira-kira jam 10 malam tadi
untuk bertanya khabar," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital
Raja Perempuan Zainab II di sini, hari ini.
Zime berkata, dia tidak menyangka panggilan telefon sebanyak empat kali
pada jam 1 pagi itu membawa berita mengenai kematian anak keempatnya
itu.
"Saya ada menerima panggilan telefon dari warden sekolah yang meminta
kami segera ke klinik Bachok, mereka kata anak saya ketika itu berada
dalam keadaan tenat.
"Tanpa mengetahui punca kejadian, kami bergegas ke sana sehinggalah
dimaklumkan kejadian sebenar ketika tiba di klinik itu," katanya.
Beliau berkata keluarganya reda dengan pemergian anaknya yang disifatkan sebagai anak yang baik serta pendiam.
"Kali terakhir kami berjumpa dengannya adalah ketika cuti sekolah baru-baru ini sebelum dia kembali ke asrama," katanya.
Difahamkan hari ini merupakan hari lahir mangsa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim hari ini berkata, mangsa
Mohamad Nur Akram maut selepas disyaki dipukul oleh pelajar senior di
bilik asrama kolej berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam tadi, mangsa dikatakan sedang
tidur sebelum dikejutkan suspek yang berusia 17 tahun yang bertindak
memukul mangsa dipercayai akibat salah faham.
Mohamad Nur Akram dikatakan tidak sedarkan diri selepas disepak
sebanyak dua kali oleh pelajar senior terbabit sebelum disahkan
meninggal pada 1.30 pagi hari ini di sebuah klinik kesihatan di Bachok.
Mayat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Berangan, Pasir Puteh hari ini. – Bernama
No comments:
Post a Comment