12 May 2015

'Gergaji' SPRM bekukan RM560 juta di Sarawak

Operasi khas Gergaji digerakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berjaya membekukan 375 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM560 juta di Sarawak hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan agensi antirasuah itu, lebih 500 batang balak juga disita.


Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata melalui Operasi Gergaji itu sekurang-kurangnya 400 anggota dan pegawai badan berkenaan melakukan serbuan serentak di 48 lokasi disyaki berlakunya perbuatan rasuah, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Serbuan ini hasil siasatan terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh SPRM bersama agensi lain," katanya.

Daripada 48 lokasi yang diserbu, 27 adalah kilang papan dan tapak pengumpulan balak, manakala selebihnya adalah premis perniagaan yang terletak di enam kawasan iaitu Miri, Kuching, Sibu, Bintulu, Bakun dan Kapit.

Mohamad Jamidan berkata, Ops Gergaji itu diketuai SPRM dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia termasuk serta Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen padu kerajaan memerangi kegiatan rasuah dalam sektor pembalakan di samping membendung aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram yang berleluasa di Sarawak.

"Dipercayai aktiviti ini mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya. - Mkini.

No comments:

Post a Comment