Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yakin
Pakatan Rakyat akan lebih kuat jika beliau terus diberi peluang
berkhidmat sebagai orang nombor dua dalam parti sambil dibantu oleh
rakan-rakan lain dalam PAS.
Mohamad juga berkata beliau yakin pemilihan kepimpinan parti di Kuala
Selangor bulan depan akan menyumbang kepada kebangkitan gabungan
pembangkang itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Lepas pemilihan ini, kita akan lihat Pakatan Rakyat lebih kuat sebab
adanya saya di situ dan rakan-rakan lain. Kalau tidak, saya tidak akan
menawarkan diri sebab saya yakin.
"Saya yakin Pakatan Rakyat akan lebih kukuh dengan adanya orang seperti
saya. Kita tak kompromi soal dasar parti," katanya yang enggan mengulas
tokoh mana yang akan menang bagi jawatan presiden Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dan Ahmad Awang.
Beliau menjawab soalan berkaitan tanggapan umum bahawa keputusan
pemilihan bakal mempengaruhi nasib Pakatan Rakyat selepas ini, ketika
diwawancara dengan Malaysiakini.
Pada masa yang sama juga, beliau menyatakan keyakinannya seratus peratus
mempertahankan jawatan yang disandangnya itu sejak dua penggal lalu
apabila ditanya mengenai tahap keyakinannya.
"Saya yakin (mempertahankannya dengan) peratusan yang tinggi," katanya yang mesra dipanggil Abang Mat.
Diasak wartawan untuk menyatakan peratusannya, tokoh PAS berhenti sejenak untuk mencongak kekuatan sokongannya.
'Pakatan bawa perubahan'
"Seratus peratus?," tanya wartawan yang kemudiannya beliau menjawab: "Ya."
"Seratus peratus?" wartawan mengulangi pertanyaannya dengan nada teruja.
Mohamad kemudiannya mengiyakan keyakinannya itu beberapa kali, "Ya, ya,
ya.".
"Saya yakin perwakilan akan pilih (pemimpin) mereka yang nak pertahan
dasar PAS dan juga nak bersama terus dengan Pakatan Rakyat," katanya
lagi.
Dalam pemilihan PAS kali ini, pemimpin PAS itu berdepan dengan saingan
empat penjuru dengan tiga lagi pemimpin kanan PAS turut dicalonkan
mencabarnya.
Mereka ialah dua naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk
Husam Musa. Seorang lagi ialah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Bagaimanapun setakat ini, ketiga-tiga pemimpin itu belum menyatakan
persetujuan melawan Mohamad.
Pada masa yang sama juga, beliau bagaimanapun menganggap krisis atau
kemelut dalaman PAS sebagai "perkara biasa" menjelang pemilihan parti
dan optimis ia "akan beransur pulih" selepas pemilihan parti itu kelak.
Di samping itu, Mohamad berkata dalam tempoh enam bulan selepas
pemilihan, akan meperlihatkan kesatuan anggota kepimpinan PAS pusat
menjadi satu kumpulan "yang boleh bekerjasama" dengan parti dalam
Pakatan Rakyat.
"Contohnya siapa saja di antara (pemimpin PAS) yang bertanding itu yang
melihat Pakatan Rakyat itu, satu 'vehicle' yang baik untuk membuat
perubahan.
"Saya tak kata bahawa Pakatan Rakyat tidak ada masalah, setiap parti ada
masalah. Tapi objektif bersama yang penting. Dialog berterusan mesti
jalan," katanya.
'Tak boleh gerak sendirian'
Mengulas lanjut, Mohamad, yang pernah ditahan ISA, berkata Pakatan
Rakyat tidak mampu untuk menawan mana-mana negeri jika ketiga-tiga parti
dalam Pakatan bergerak sendirian.
"Ada Pakatan Rakyat baru boleh mencapai kemenangan. Ini sudah dibuktikan
di lima buah negeri. Sebab itu saya yakin, apa jua kemelut pun,
akhirnya menjelang hari muktamar, perwakilan akan memilih mereka yang
memelihara Pakatan Rakyat," katanya.
Mengulas dakwaan kempen kotor menjelang pemilihan parti, Mohamad
menganggap ia "satu fenomena baru yang sementara" kerana pihak yang
terbabit menyuarakan padangannya tanpa mengetahui sejarah parti
perjuangan, politik negara, dan perihal kaum dan lain-lain.
Beliau turut mengulangi misi dan visinya untuk mempertahankan Pakatan
Rakyat dan melebarkan pengaruh PAS kepada bukan Melayu dan Islam
khususnya masyarakat Cina, India serta mahasiswa dan NGO.
Ekoran popularitinya di kalangan masyarakat Tionghua yang sangat baik,
Mohamad berkata beliau sering mendapat undangan dan jemputan makan malam
khususnya bersama-sama dengan mereka.
"Jiwa orang bukan Islam atau orang Islam (sendiri) melihat kebenaran,
melihat soal keikhlasan, soal perjuangan. Kita kata menghormati orang
yang bercakap, dan dia bersungguh dalam apa yang dia cakap. Ini lumrah
manusia.
"Barangkali orang bukan Islam khasnya orang Tionghua, dia lihat saya
bercakap semasa belum jadi MP, semasa jadi MP dan lepas jadi MP. Komited
kita menentang rasuah penyelewengan dan penindasan itu berterusan. Tak
kira kaum. Misalnya kes Teoh Beng Hock apabila dia dizalimi," katanya.- Mkini
No comments:
Post a Comment