Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat kes klip video yang didakwa menyindir pelaksanaan hudud di Kelantan, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata pihaknya memulakan siasatan sebaik sahaja menerima aduan daripada orang ramai berkenaan video itu.
"Dan kami juga menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia untuk menghulurkan bantuan dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyampaikan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dan memohon bantuan SKMM bagi mendapatkan maklumat berhubung akaun di laman YouTube.
Stesen radio perniagaan berbahasa Inggeris BFM dilaporkan memuat naik klip video berdurasi satu minit 56 saat bertajuk 'Hudud Isi Periuk Nasi?' yang memaparkan seorang pengacara menyindir pelaksanaan undang-undang Islam itu, sehingga menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial.
Semalam, stesen radio itu menarik semula klip video itu dan memohon maaf dan berkata mereka tidak berniat mempersoalkan hudud, sebaliknya hanya mengajak penonton video untuk bertanyakan soalan berkaitan pelaksanaan hudud, serta isu banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini.
Berikutan penyebaran video itu, wartawan berkenaan menerima pelbagai kritikan termasuk ugutan bunuh.
Halim mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau memaparkan mesej serta kandungan berbaur ugutan dalam talian kerana ia salah di sisi undang-undang.
"Biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan dulu. Beberapa individu di Pulau Pinang juga membuat laporan polis berkenaan ugutan bunuh dan rogol berkenaan, dan saya difahamkan pihak polis sedang menyiasatnya," kata Halim. – Bernama
No comments:
Post a Comment