18 February 2015

Sirul: Selepas Altantuya, inikah balasannya?

Bekas anggota pasukan elit polis Sirul Azhar Umar menegaskan beliau hanya mengikut arahan apabila membunuh Altantuya Shaariibuu.

Dia ketika itu percaya semua itu dilakukan demi kepentingan negara. Tetapi atas kepercayaan itu, dia berdepan tali gantung.


"Jika saya mati hari ini, saya tidak akan aman kerana saya cuma buat apa yang disuruh.

"Dan ini balasannya yang saya dapat," katanya kepada Malaysiakini ketika diwawancara melalui telefon dari Australia.

Sirul, yang disabitkan bersalah bersama seorang lagi komando polis Azilah Hadri, juga tidak berpuas hati dengan perjalanan kesnnya.

Dia merasakan DSP Musa Safri, orang atasannya dan bekas pembantu Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika menjadi timbalan perdana menteri, patut dipanggil menjadi saksi pihak pendakwaan.

'Hujah peguam saya kuat'

Mahkamah Rayuan pada 2013 membebaskan Azilah dan Sirul akibat salah arah serius Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Zaki Yasin, termasuk tidak memanggil Musa.

Bagaimanapun, kata Sirul, Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan rayuan pendakwaan, mengabaikan perkara itu.

"Mahkamah juga mengabaikan bukti DNA daripada kesan darah pada kasut yang diletakkan di dalam kereta saya dan sampel DNA saya sendiri.

"Mahkamah abaikan perkara ini walaupun terdapat penghujahan kuat oleh peguam saya," katanya.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara I Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah bahawa Musa bukan saksi penting dalam perbicaraan itu dan tiada keperluan memanggilnya.

Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican, pula berhujah bahawa tindakan itu telah bertukar perbicaraan silap.

Gerak hati kalah kes

Berhubung DNA, ahli kimia memberi keterangan bahawa terdapat kemungkinan DNA daripada kesan darah itu milik Altantuya, walaupun terdapat keraguan padanya.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Sirul sekali lagi menegaskan bahawa beliau menjadi “kambing hitam” dalam kes itu.

Beliau juga mengaku tertekan dengan dakwaan penganalisis politik Abdul Razak Baginda bahawa “polis jahat” bertanggungjawab membunuh Altantuya pada 2006.

Razak Baginda, rakan rapat Najib, didakwa bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Sementara itu, menceritakan keadaannya dalam tahanan pihak imigresen Australia di Sydney, Sirul berkata semuanya baik dan dia ditempatkan seorang diri dalam bilik yang mempunyai empat katil.

Ditanya kenapa beliau berlepas ke Australia sebelum keputusan mahkamah, dia berkata berdasarkan gerak hatinya, kes itu tidak akan menyebelahinya. - Mkini

No comments:

Post a Comment