21 February 2015

Reda Allah lebih penting daripada menang pilihan raya, kata ulama PAS

Kemenangan dalam pilihan raya dan seterusnya menawan Putrajaya bukan agenda utama PAS, kerana parti Islam itu lebih mementingkan keredaan Allah, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, berbeza dengan parti politik yang lain, walaupun PAS pada dasarnya menyertai pilihan raya untuk membentuk kerajaan, ia menekankan yang segala tindakan perlu dirujuk pada kehendak agama.

"PAS tidak seperti parti politik lain seperti PKR, DAP dan Umno. PAS merupakan gerakan Islam yang mempunyai matlamat lebih tinggi dan lebih mulia, iaitu keredaan Allah.

"Itu perbezaan jelas PAS antara parti politik lain. Kita mahu menang tapi biarlah kemenangan itu diredai Allah," katanya dalam ulasan ucaptama Multaqa Ulama Semalaysia II di Serdang, Selangor hari ini.

Bercakap di hadapan hampir 1,000 ahli PAS, beliau turut menggesa anggotanya yakin terhadap kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ada yang ura-ura nak tukar presiden. Itu kerana kita tidak yakin atas dasar dan perjuangan. Kita perlu yakin bagaimana sekalipun," katanya.

Terdahulu, Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yaakob dalam ucaptamanya berkata, wujud aliran “pemikiran songsang” di kalangan ahli PAS apabila timbul suara hendak mengetepikan pelaksanaan syariat Islam demi mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

"Aliran pemikiran tajaan Barat ini dilihat bertapak dalam PAS yang membuatkan sebilangan anggota PAS tersasar matlamat sebenar perjuangan Islam iaitu mendaulatkan Syariat Allah.

"Golongan ini mencari kemenangan bukan dengan mengikuti manhaj (kaedah) yang diredai Allah berdasarkan Syariah tetapi lebih kepada mengutamakan matlamat walaupun caranya berlawanan dengan panduan Quran dan Hadis," kata Ahmad.

Mengulas ucapan itu, Amar berkata, sekiranya ditakdirkan Allah, PAS tetap akan menang seperti pada pilihan raya umum 2004 contohnya, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Johor, kawasan yang dikenali kubu kuat Barisan Nasional.

"Siapa sangka PAS boleh menang di kawasan kubu kuat Umno. Johor itu merupakan kubu kuat mereka. Hampir mustahil kita boleh menang. Tapi itu semua kerana kebesaran Allah dan kekuasaannya.

"Tapi tengok cara Tuhan buat macamana. Tuhan beri PAS menang di kerusi Senggarang. Ia kerana kehendak Allah," katanya.

Selain itu beliau berkata, parti Islam itu tidak memilih siapa yang bakal membarisi kepimpinan hadapan parti asalkan calon tersebut dari kalangan orang Islam.

"Kita tidak kisah siapa pun, asalkan beliau seorang Islam, macam (pasukan) bola Red Wariors (pasukan Kelantan), tidak kisah siapa pun asalkan yang gol itu dari pasukan Red Wariors," katannya.

Timbalan menteri besar Kelantan itu turut mendakwa Tengku Razaleigh Hamzah merupakan tokoh politik yang bertanggungjawab menjatuhkan PAS dan menyebabkan parti itu kehilangan Kelantan.

"Ku Li 'master mind'nya. (Tetapi) Ku Li juga orang yang bertanggungjawab mengembalikan kemenangan kepada PAS, dengan mengembalikan jawatan menteri besar kepada Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Ini semua kehendak Allah," katanya.

Pada masa sama, Amar juga membidas Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) seperti dalam ucaptama Ahmad yang menggesa tindakan diambil terhadap ahli PAS yang menyertai pertubuhan bukan kerajaan itu.

"Cuba kaji latar belakang mereka (dalam PasMa). Semua mereka tidak diterima PAS. Dengan itu, kita tidak haruslah melayan mereka," katanya sambil mengingatkan jangan ada di kalangan ahli PasMa yang menjadi perwakilan menyertai multaqa tersebut. - TMI

No comments:

Post a Comment