20 February 2015

Hentikan penganiayaan politik atau tinggalkan PBB, kata Nurul Izzah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti menamatkan siri penganiayaan terhadap pemimpin pembangkang dan aktivis hak asasi, atau melepaskan jawatan Malaysia di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebagai pengerusi Asean, kata Nurul Izzah Anwar.

Naib Presiden PKR itu berkata, kerajaan seharusnya mempamerkan kuasa yang bermoral dan keberanian yang berprinsip apabila ia mengambil alih jawatan pengerusi Asean tahun ini, tetapi sebaliknya, ia mensasarkan individu yang berkaitan pembangkang menggunakan Akta Hasutan yang kuno, sementara menteri yang bersifat perkauman terlepas daripada hukuman.

"Sebagai anggota PBB dan kini duduk dalam Majlis Keselamatan, kita rasa malu kerana Malaysia dengan sengaja mencemar kedaulatan undang-undang melalui pendakwaan terpilih dan penyiasatan yang seolah-olah memihak kepada kerajaan," kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini.

"Kelihatannya seperti tiada penghujungnya kepada minat pihak berkuasa mewujudkan budaya takut dan penindasan dengan melakukan 'sedition witch hunt' (memburu mangsa tuduhan hasutan) memantau rapi perdebatan umum, termasuk di media sosial!"

Nurul Izzah merujuk kepada penangkapan politik kartunis satira Zulkifli Anwar Ulhaque, atau Zunar pada 11 Februari dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan semalam.

Kedua-dua mereka disiasat kerana menghasut susulan komen mereka terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, walaupun polis pantas bertindak terhadap Zunar dan Arutchelvan, mereka dengan selamba mengabaikan tweet yang berbau perkauman dibuat para menteri dan dakwaan terdapatnya penglibatan golongan pemerintah dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Khususnya, yang masih segar di ingatan kita ialah seruan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memboikot peniaga Cina. Malangnya, tiada tindakan diambil pihak berkuasa sehingga hari ini."

Nurul Izzah berkata, kepimpinan di Malaysia hilang ketika Perdana Menteri memungkiri janjinya hendak memansuhkan Akta Hasutan tahun lepas, walaupun terdapat kritikan daripada pakar undang-undang tempatan dan antarabangsa .

"Rakyat sepatutnya bebas menjalankan hak mereka mengkritik kerajaan tanpa rasa takut atau dihukum pihak berkuasa . Tiada kerajaan yang maksum, tambahan pula kerajaan yang menjadikan penganiayaan politik 'raison d'etre (justifikasi tindakan) mereka.

"Najib mesti menghentikan siri penganiayaan ini atau melakukan apa yang perlu dengan melepaskan jawatan Malaysia dalam kedua-dua Majlis Keselamatan PBB dan sebagai pengerusi Asean."– TMI

No comments:

Post a Comment