KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam
kerana dipercayai cuba menyertai jihad kumpulan militan IS di Syria.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pelajar terbabit
telah membuat persiapan untuk perjalanan ke Syria menerusi Mesir dan
polis percaya
pelajar itu mempunyai rakan atau orang hubungan di Mesir.
"Gadis tersebut terpengaruh dengan dakyah dalam laman sosial Facebook,"
katanya kepada pemberita sempena pelancaran Kempen Balik Kampung Ops
Selamat 6/2015 sempena sambutan Tahun Baharu Cina di plaza tol Jalan
Duta sini hari ini.
"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dalang kes ini
bagi mengetahui bagaimana pelajar terbabit mendapat tiket dan wang bagi
menampung perbelanjaan untuk ke sana (Syria)," katanya.
Khalid menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau perkembangan
anak-anak mereka agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang hasutan
luar, yang hanya merosakkan masa depan mereka.
Pelajar perempuan terbabit kini ditahan reman di bawah Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). - Bernama
No comments:
Post a Comment