14 February 2015

(Video) Bomoh 'main golf' pula depan penjara Anwar

 
Pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zain sekali lagi cuba mencetus kontroversi apabila dikesan muncul di luar Penjara Sungai Buloh yang menempatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu video yang disebarkan di Facebook menunjukkan beliau melakukan beberapa upacara, termasuk bermain golf di ruang letak kereta di luar pagar kompleks tersebut.


Rakaman sepanjang hampir tiga minit setengah itu menunjukkan beliau meneropong menggunakan potongan buluh dan mengetuk dua biji kelapa.

Ia seterusnya menunjukkan beliau memberi penerangan bahawa tindakannya itu untuk memberi perlindungan kepada Anwar daripada serangan “ilmu hitam”.

“(Tindakan ini untuk) berikan perlindungan kepada Anwar Ibrahim supaya tabah hati dan dapat beribadat (dan) menjauhi kejahatan orang yang hasad dengki kepadanya,” katanya dalam video

Beliau turut menunjukkan empat biji limau yang menurutnya bagi membunuh “empat ekor hantu raya”.

Seterusnya, beliau memukul limau tersebut menggunakan kayu golf sambil bertakbir.

Ibrahim mula mencetus kontroversi apabila muncul di KLIA pada Mac tahun lalu ketika perhatian dunia tertumpu pada kes kehilangan pesawat MH370.

Beliau juga muncul di lokasi kemalangan yang mengakibatkan kematian pengerusi DAP Karpal Singh pada April tahun lalu.

Upacara yang dijalankannya itu mendapat kecaman kerana didakwa bercanggah dengan Islam dan memalukan negara. - Mkini

No comments:

Post a Comment