14 January 2015

Esscom lancar Operasi Bersepadu Khas buru Pati

TAWAU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan melancarkan Operasi Bersepadu Khas bagi mengesan dan menangkap pendatang tanpa izin (Pati) di daerah Tawau dan Semporna dalam masa terdekat.


Komander Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, operasi yang akan disertai pelbagai agensi negeri dan persekutuan itu dilaksanakan dalam skala yang besar bagi memburu saki baki Pati, termasuk mereka yang melakukan pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang negara seperti penjaja haram dan penyeludup barang-barang bersubsidi ke negara jiran.

"Sebelum ini, kita telah melancarkan operasi yang sama di Sandakan dan Lahad Datu dan operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan sehingga kehadiran Pati di negeri ini khususnya di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) dapat dibendung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Operasi Bersepadu di Pejabat Imigresen Tawau, di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, langkah drastik itu merupakan susulan daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pati di Sabah dan arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman agar satu operasi besar-besaran dilaksanakan bagi membanteras kehadiran Pati di negeri ini, khususnya di Esszone.

Katanya, Esscom sebagai agensi kerajaan yang menyelaras pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan akan menggalas amanah dan tanggungjawab itu sehingga negeri ini benar-benar bebas daripada Pati.

"Kita akan laksanakan operasi ini pada setiap masa sehingga kehadiran Pati di negeri ini dapat dibanteras," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment