15 December 2014

Kewarganegaraan tebusan belum dikenal pasti

KUALA LUMPUR - Polis Australia tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan mereka dijadikan tebusan oleh lelaki bersenjata di sebuah kafe di pusat bandar Sydney pagi ini.
Jurucakap Pasukan Polis New South Wales (NSW) berkata polis masih belum mengenal pasti identiti tebusan yang terdiri daripada staf dan pengunjung Lindt Chocolate Kafe.
"Kami tidak dapat menentukan kewarganegaraan tebusan berkenaan pada ketika ini.

Operasi sedang dijalankan dan saya menggesa orang ramai bertenang," katanya kepada Bernama menerusi telefon hari ini.
Laporan berita antarabangsa menyatakan seorang militan bersenjata telah menjadikan kira-kira 40 hingga 50 orang sebagai tebusan dalam kafe yang terletak di Martin Place itu.

Reuters melaporkan insiden tebusan bermula pada 9.44 pagi apabila seorang wanita di luar kafe itu melihat seorang lelaki membawa sebuah beg sukan yang kelihatan mengandungi sepucuk senjata api. - SH

No comments:

Post a Comment