Saya
memerhatikan pergolakan Selangor sambil mendisiplinkan diri dengan
membisu sekian lama. Diharapkan ia tidak menambahkan kekeruhan sedia ada
sekalipun sekian ramai awak-awak telah mengharu birukan lagi keadaan
dengan komen-komen yang sesetengahnya tidak bertanggung jawab, bahkan
mencederakan nama baik PAS.
Tikus lebih mudah merosakkan labu kerana menghancurkan lebih mudah dari membina.
Namun
begitu, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai seorang insan gentleman dan
berakhlak mulia mesti tahu batas beliau boleh menumpang PAS. Beliau
boleh mendapatkan simpati, perlindungan sementara dan sokongan PAS dalam
lingkungan semangat Pakatan Rakyat. Presiden PAS telah menghulurkan
ranting zaitun untuk beliau. Episod itu telah berlalu.
Perkembangan
lain telah berlaku selepas episod itu. Di mana PAS tidak wajar timbul
tenggelam bersekali Tan Sri Khalid dan menggorbankan prinsipnya yang
lebih besar, nama baiknya, akhlak politik yang dipegangnya dan amanah
atas nama Pakatan rakyat yang ia perolehi dari rakyat Selangor.
Tan
Sri telah dipecat sebagai ahli PKR. Oleh kerana beliau belum diterima
menjadi ahli mana-mana parti gabungan Pakatan Rakyat, ia bukan mewakili
PR lagi.
Tan Sri sedar sepenuhnya hal ini?
Kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Bagaimana seorang ADUN bukan anggota PR boleh terus menjadi MB Pakatan Rakyat?
Tan
Sri memecat exconya dari PKR dan DAP. Juga mengambil pelbagai langkah
politik lain lagi yang ikut memalitkan PAS tetapi PAS tidak pernah tahu
mengenainya.
Tindakan ini boleh memecah belahkan Pakatan kerana
seakan menunjukkan PAS terus mendokong MB yang sudah hilang
legitimasi. Ia merosakkan PAS dan Tan Sri tidak berhak berbuat demikian
kepada PAS.
Untuk memecat Exco dari PKR dan DAP dan mengekalkan
PAS, ia mesti dibincangkan lebih dahulu dengan PAS (Jawatankuasa PAS
Pusat) dan mendapat persetujuan gabungan yang lain.
Setahu saya, PAS Pusat tidak pernah bermesyuarat dalam tempoh ini untuk memutuskan kedudukan itu.
Saya
selaku salah seorang Naib Presiden tidak pernah dimaklumkan oleh
mana-mana pihak tentang hal ini. Setahu saya, PAS Pusat juga tidak
pernah memberikan mandat kepada sesiapa untuk memutuskan perkara ini.
Dengan
ini, Tan Sri telah melibatkan PAS untuk survival Tan Sri sebagai MB
dengan cara yang menjejaskan nama baik PAS di mata rakyat Selangor. Ini
sangat tidak wajar.
Bagaimana Tan Sri boleh kekal sebagai MB
dengan tidak melepaskan jawatan secara bermaruah pada hari sama Tan Sri
dipecat sebagai ahli PKR? Sultan menitahkan untuk Tan Sri kekal adalah
kebijaksanaan baginda tetapi Tan Sri mempunyai pilihan untuk menolak
perkenan itu atas pilihan Tan Sri sendiri.
Apa lagi bertindak
seakan Tan Sri masih berkuasa penuh pada hal asas legitimasi Tan Sri
sudah runtuh. Untuk kekal sebagai MB, Tan Sri tidak boleh mencaturkan 15
ADUN PAS untuk menggenapkan cukup bilang bagi pembentukan kerajaan
Selangor PAS + UMNO + TSKI + lompat parti DAP/PKR.
Itu sangat
tidak bermoral. Itu meniru gaya UMNO di Perak. Perbuatan tersebut amat
terkutuk dan ditolak oleh amalan demokrasi yang mulia. Memasukkan
perkongsian kuasa PAS dan UMNO melanggar banyak prinsip yang dipegang
oleh PAS selama ini.
UMNO adalah lawan PAS dan tidak ada
mana-mana kuasa dalam PAS boleh mengizinkan PAS berkongsi kuasa dengan
UMNO tanpa melalui kelulusan Muktamar Agung PAS.
Ia tidak mungkin
dilakukan dalam jangka masa Tan Sri membilang jumlah ADUN untuk
mengekalkan Tan Sri sebagai MB sekarang. Tan Sri sudah tidak mempunyai
cukup bilang sekarang.
Jika itu dilakukan oleh PAS, bermakna PAS
menerima hubungan 'sodomy'. 15 ADUN PAS dipilih oleh rakyat Selangor
atas tiket kerja sama Pakatan Rakyat. UMNO ditolak oleh majoriti rakyat
Selangor kecuali di 13 dun. Kedudukan UMNO adalah sebagai pembangkang
dan PAS adalah sebahagian dari Kerajaan Selangor.
Membawa UMNO
dari pembangkang dan duduk sebagai kerajaan bersama PAS dengan menolak
dua lagi parti gabungan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat adalah
perbuatan terkutuk yang tidak dizinkan oleh Islam.
Islam tidak
mengizinkan pengkhianatan. Islam tidak mengizinkan pecah amanah. Dalam
hal ini, amanah majoriti pengundi Selangor memilih Pakatan sebagai
kerajaan dan menolak UMNO.
Tan Sri sebagai tokoh korporat yang
biasa dengan angka tentu tahu, sekalipun 15 ADUN PAS campur 12 ADUN
UMNO dan turut campur Tan Sri, ia hanya berjumlah 28 ADUN dari 56 jumlah
ADUN.
50:50. Ia tidak membolehkan Tan Sri mendapat simple
majority dari awal, sekalipun jika PAS dan UMNO sanggup bersekongkol
untuk mendaulatkan seorang insan bernama Khalid Ibrahim lebih dari
segala-galanya.
Sementalah PAS dan UMNO kedua-duanya, secara
pendirian parti yang rasmi, tidak pernah memberikan persetujuan itu
sehingga hari ini. Hari Jumaat yang mulia - 15 Ogos 2014 - hari ini.
Jika
Tan Sri mengharapkan YB Rodziah dan YB Teng yang disebut-sebut kononnya
akan bersama Tan Sri sehingga Tan Sri melewatkan pemecatan YB Rodziah
berbanding yang lain, namun mereka telah mengambil pendirian insan
bermaruah dan pendekar terbilang kerana kekal bersama parti
masing-masing.
Syabas! Saya amat bangga dengan mereka dan ia
telah memberikan hiburan bagi hati yang gundah di tengah kecenderungan
menggunakan 'jual beli kuda taruhan'.
Kentalnya YB Rodziah
menolak tawaran kekal dalam Exco sekalipun berkereta besar dan bergaji
lumayan adalah satu tamparan yang patut menyedarkan Tan Sri pada saat
itu juga.
Legitimasi Tan Sri sebagai MB sudah berakhir.
Harapan
mendapatkan sekurang-kurangnya seorang ADUN untuk mendapatkan simple
majority sudah tertutup. Apa lagi bila dua ADUN PAS mengambil langkah
bersendiri mereka menolak Tan Sri sebagai MB secara terbuka.
Sekalipun
jika jarum jam boleh berpatah ke belakang, saya akan menasihatkan
mereka untuk terlebih dahulu mendapat restu parti. Itu yang terbaik.
Tetapi
tindakan mereka telah meletakkan usaha pihak mana jua untuk mewujudkan
sebuah kerajaan gabungan PAS+UMNO+TSKI+lompat gagal dan mustahil.
Tan Sri tahu ini.
Lantas, apa lagi yang ditunggu?
Tidakkah mulia untuk Tan Sri bermaruah melepaskan jawatan MB?
Atau Tan Sri kini berfikir untuk membubarkan DUN?
Bukankah tindakan itu akan menyusahkan Tuanku Sultan Selangor?
Kenapa tidak pada tarikh Tan Sri mengadap Sultan Selangor baru ini Tan Sri mencadangkan DUN di bubarkan?
Jika
kerana Tan Sri gagal mendapatkan cukup bilang Sultan Selangor
mengambil langkah membubarkan DUN, ia pada hemat saya, akan mencemarkan
istitusi diraja.
Model Perak di mana tokoh yang mendapat sokongan
majoriti dilantik tanpa pembubaran DUN dan tanpa sidang DUN hendaklah
menjadi cermin.
PAS telah mengalami pengalaman yang pahit bila
MB Kelantan yang dilantik atas tiket PAS dan hendak ditukar oleh PAS,
antara lain bukan kerana kesalahan jenayah rasuah tetapi semata-mata
kerana gagal mengikut semangat dan arahan parti, telah mencetuskan
krisis disebabkan UMNO melanggar konvensyen urusan parti lain tidak
boleh dicampuri oleh parti gabungan yang lain.
Malangnya UMNO
melanggar konvensyen itu. Lama PAS mengutuk tindakan jahat UMNO. Dari
dulu hingga kini. Ia tercatat dalam dokumen rasmi PAS, ucapan
pemimpinnya dan tesis para mahasiswa.
Oleh itu, TAN SRI harus tidak mengheret PAS dalam krisis TAN SRI. Parti TAN SRI berhak menukar TAN SRI dengan calon lain.
PAS boleh memberikan pandangan tetapi harus akur prerogative itu adalah hak PKR.
Itulah yang berlaku di Kedah semasa ada pandangan YAB Ustaz Azizan wajar ditukar sebagai MB.
PKR tidak menjamah urusan itu.
Jika
Tan Sri berterusan mengheret PAS, seakan TAN SRI mahu PAS dilihat
melanggar konvensyen yang ia telah junjung sejak ia kehilangan kuasa di
Kelantan 1978.
Jika budi PAS yang telah menunjukkan setia kawan bersama TAN SRI dihargai, janganlah PAS diseret lebih jauh.
Meletakkan jawatan adalah langkah terhormat. Ia bukan akhir sebuah karier politik.
Namun, bertindak secara tidak bermaruah itulah sebenarnya akhir sebuah karier politik. Dan hitamnya rekod kehidupan.
Pada hari Jumaat yang berkat ini, kita memohon panduan Allah swt.
Husam Musa
Naib Presiden PAS
15 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment