KUALA LUMPUR - Pas menolak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal menjawat
jawatan Menteri Besar Selangor kerana beliau bukan lagi ahli PKR.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, kini sudah tidak timbul
soal Abdul Khalid selepas keahliannya dalam PKR telah ditarik.
"Sudah tidak timbul lagi soal beliau (Abdul Khalid) kerana dia sudah dipecat partinya.
"Dia bukan lagi ahli PKR. Kita tahaluf siyasi dengan parti bukan dengan
individu," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat
khas jawatankuasa Pas Pusat, hari ini.
Pas hari ini mengumumkan dua nama calon menteri besar bagi menggantikan
Abdul Khalid iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Namun ketika ditanya pemberita sebab mencalonkan nama lain sedangkan
PKR telah pun menamakan Wan Azizah sebagai calon menteri besar, Mohamad
tidak menjawab dengan jelas.
Beliau terus diasak soalan sama berulang kali dan akhirnya beliau
memberitahu perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PR, petang
ini.
Sementara itu, media membangkitkan soal parti itu yang dilihat mengubah
keputusan selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini
menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid.
"Tak ada 'U-turn’. Ini (cadang dua nama) keputusan bersama. Sebulat suara," katanya.
Sementara itu, beliau menolak untuk mengandaikan berlakunya pilihan
raya negeri kerana PR masih lagi memegang majoriti dua per tiga Dun di
Selangor. - SH
No comments:
Post a Comment