KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata
keputusan menamakan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu, adalah
muktamad.
Beliau mahu semua pihak termasuk Pas menerima keputusan yang
dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan pada 17 Ogos lepas.
"Saya akan merayu kepada mereka (Pas) agar menerima keputusan majlis
pada 17 Ogos lalu sebagai keputusan muktamad dan seterusnya memastikan
semangat bekerjasama Pakatan Rakyat dikekalkan," katanya kepada
pemberita selepas hadir satu prosiding mahkamah di Kompleks Mahkamah,
Jalan Duta di sini hari ini.
Anwar mengakui isu calon Menteri Besar Selangor itu sedikit sebanyak
telah menggugat keutuhan pakatan pembangkang, tetapi beliau yakin ia
boleh diatasi sekiranya mereka menghormati dan akur kepada keputusan
Majlis Presiden Pakatan itu.
Beliau berkata keputusan mencalonkan isterinya menggantikan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim itu juga dibuat selepas mendapat nasihat
perundangan.
Anwar berkata, soal memanggil semula satu lagi mesyuarat majlis juga
tidak timbul sama sekali kerana semua pihak kini terikat dengan
keputusan tersebut.
Berkenaan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin supaya pemimpin Pas,
PKR dan DAP, mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri
besar, Anwar berkata, PKR tetap dengan keputusan yang Majlis Presiden
putuskan itu.
"Semua pihak terikat dengan keputusan 17 Ogos...di mana semua pemimpin
tertinggi Pakatan telah hadir pada mesyuarat tersebut," tegas Anwar.
Pada Selasa lepas, Abdul Khalid mempersembahkan surat peletakan jawatan
sebagai Menteri Besar kepada Sultan Selangor, tetapi baginda
menangguhkan menerima permohonan itu sehingga menteri besar baharu
dipilih. - Bernama
No comments:
Post a Comment