TEMERLOH - 'Rambo Bentong' atau nama sebenarnya Rabidin Satir dijatuhi
hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini
selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan berusia 17 tahun,
lima tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu setelah pihak
pembelaan didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes
pendakwaan.
Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh
Annie Kok Yin Cheng, 17, antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8
Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Abdul Karim membebaskan Rabidin daripada tuduhan merogol
Kok kerana mahkamah tidak dapat menentukan sama ada jenayah itu
dilakukan tertuduh ketika mangsa masih hidup atau telah mati.
Tertuduh didakwa merogol mangsa di tempat dan pada masa sama mengikut
Seksyen 376(4) kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara
sehingga 30 tahun dan sebatan.
Dalam penghakimannya, Abdul Karim berkata tertuduh yang memberikan
keterangan bersumpah dan merupakan satu-satunya saksi pembelaan dalam
kes itu hanya memberikan keterangan bersifat penafian.
"Tertuduh juga hanya memberikan keterangan ringkas sepanjang
perbicaraan berlangsung di mana sesi soal balas hanya dijawab dengan
jawapan 'tidak ingat' dan mengambil masa yang lama untuk memberi
keterangan.
"Daripada cerita pembelaan tertuduh, ia hanyalah keterangan bersifat
penafian atau 'after thought', dia menafikan mengenali mangsa dan
menafikan pernah pergi ke rumah mangsa, jadi penafian ini tidak
menimbulkan keraguan kepada kes pihak pembelaan," katanya.
Beliau berkata kesan darah yang ditemui pada pakaian mangsa adalah
sepadan dengan darah milik tertuduh selain profil asid deoksiribonukleik
(DNA) yang diperoleh daripada kemaluan mangsa juga sepadan dengan
profil DNA milik Rabidin.
Rabidin yang berkerusi roda dan diwakili peguam Richard Bong Chong Fook
hanya mendiamkan diri ketika jurubahasa Kadazan Dusun menterjemahkan
keputusan itu kepadanya.
Pada 5 Februari 2013, Rabidin dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 50
sebatan setelah mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol dan satu
tuduhan seks luar tabii yang dilakukan antara 2009 hingga 2011.
Bagaimanapun, pada 29 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini
menerima rayuan tertuduh dan mengurangkan hukuman kepada 40 tahun dan 24
sebatan.
Pada 21 Mac tahun lepas, dia turut dikenakan hukuman 18 tahun penjara
setelah mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd
Suhaimi Md Razali, 24, dengan parang di sebuah rumah di Taman Shahbandar
Husin, Bentong pada 2012.
Hukuman dia bagaimanapun dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuannya diterima mahkamah.
Rabidin dikenali sebagai Rambo Bentong kerana dia tinggal di hutan
bersendirian dan menggunakan pisau Rambo untuk mengugut menyerang
mangsa. - Bernama
No comments:
Post a Comment