06 August 2014

Notis tunjuk sebab PKR cacat, kata Abdul Khalid


SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diberi notis tunjuk sebab semalam gara-gara enggan meletak jawatan, akhirnya telah mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Lembaga Disiplin PKR, hari ini.

Melalui surat yang ditujukan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Abdul Khalid menyentuh soal notis tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya itu yang disifatkan cacat.

“Menjadi keperluan bagi notis tunjuk sebab menyatakan dengan jelas dan spesifik semua tuduhan yang dikenakan ke atas saya dengan menyatakan pelanggaran mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan parti serta peruntukan di mana-mana hukuman boleh dikenakan terhadap saya.


“Pernyataan secara spesifik tersebut adalah wajar untuk YB Datuk menyatakan secara bertulis. Malangnya setakat ini notis bertarikh 5 Ogos 2014 itu dilihat sebagai satu notis yang cacat, tanpa butir-butir relevan serta memadai bagi membolehkan saya untuk menjawab,” katanya yang dipetik dari surat tunjuk sebab berkenaan.

Menyentuh soal Langkah Kajang yang dilaksanakan parti itu, Abdul Khalid mengingatkan bahawa ia cuba dilaksanakan sebagai satu arahan oleh parti kepadanya tanpa memberi pertimbangan wajar.

“Sementara menunggu apa-apa notis tunjuk sebab yang sah, saya menarik perhatian YB Datuk bahawa setiap masa material, Langkah Kajang (kononnya dinamakan dan dirujuk YB Datuk) adalah sesuatu perkara yang tidak dibincang oleh pihak-pihak berkenaan dalam cara yang efektif dan adil dengan dan kepada saya.

“Sebaliknya, apa-apa keputusan yang dibuat berkenaan Langkah Kajang ini telah cuba dilaksanakan sebagai satu ‘arahan’ oleh parti kepada saya tanpa memberi perimbangan wajar bahawa tanggungjawab saya sebagai menteri besar juga merangkumi tanggungjawab eksekutif terhadap semua rakyat Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor termasuk menasihati Sultan Selangor,” katanya. - SH

No comments:

Post a Comment