KUALA LUMPUR - "Saya cuba mohon dengan mahkamah untuk bayar RM100
sebulan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana
sekarang hanya bekerja sebagai nelayan," kata pengendali blog Papa Gomo
selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan
pembayaran ganti rugi sebanyak RM800,000.
Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papa Gomo) berkata demikian kepada
pemberita di luar mahkamah dan turut memberitahu bahawa telah menjual
saham miliknya di KL POS Media & Production Sdn Bhd.
Katanya, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rosilah Yop bagaimanapun
menasihatkan beliau supaya berbincang perkara itu dengan Anwar sendiri.
Hari ini Rosilah menolak permohonan Wan Muhammad Azri dengan kos
RM5,000, di dalam kamar dengan dihadiri peguam Shahid Adli yang mewakili
Anwar dan Wan Muhammad Azri, yang mewakili diri sendiri.
Shahid berkata, Rosilah membuat keputusan itu atas alasan tiada sebab untuk membenarkan penangguhan.
Tambahnya, rayuan Wan Muhammad Azri terhadap keputusan Rosilah yang
memerintahkan ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000 telah ditetapkan
pada 24 Jun untuk pengurusan kes di depan timbalan pendaftar Mahkamah
Rayuan.
Pada 28 Februari, Rosilah memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar
ganti rugi sebanyak RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar berhubung
penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video
seks di blog Papa Gomo.
Dalam penghakimannya, Rosilah berkata, daripada keterangan yang
dikemukakan, beliau mendapati Wan Muhammad Azri ialah blogger Papa Gomo
dan telah menerbitkan kenyataan memfitnah dalam blognya.
Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhamamad Azri pada 21 Mac tahun
lepas dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa
Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog
berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013. - Bernama
No comments:
Post a Comment